Skate Clinic uji adrenalin
KOTA LAKSAMANA 12 Nov. – Kira-kira 100 penyertaan baharu dalam sukan papan selaju di negeri ini menandakan sukan ekstrem di negeri ini masih menerima sambutan.
Pengerusi Kelab Melaka Skate Scene Muhammad Hazeem Wageh berkata, perkara terbabit dapat dilihat menerusi acara Skate Clinic dianjurkan pihaknya baru-baru telah menerima sambutan dari pelbagai peringkat umur bermula 10 sehingga 45 tahun.
Katanya, perkara terbabit mampu memberi galakan kepada peminat sukan yang dikenali sebagai papan selaju (skateboard) itu dalam menguji adrenalin, sekali gus mengasah bakat ke peringkat yang lebih tinggi.
“Melalui program yang telah dijalankan di Taman Lagenda ini kita melihat sambutan ini terus diterima masyarakat sehinggakan ada peserta cilik termasuk peserta wanita pun menyertai program ini.
“Pada program terbabit, kita telah memberi pendedahan asas dan keselamatan dalam mengendalikan beberapa teknik meluncur dalam sukan ini.
“Sukan ini perlulah diberi perhatian oleh setiap pihak yang sekali gus akan membantu belia di negeri ini dari terjebak dengan permasalahan sosial yang melanda.
“Malah, berbanding di negeri lain ia pun telah diketengahkan bagi mengangkat sukan ini ke persada,”katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Skate Clinic yang diadakan itu merupakan acara tahunan kelab terbabit yang telah ditubuhkan di negeri ini hampir 10 tahun yang lalu.