SK Datuk Haji Baginda sediakan bahan bacaan percuma atas talian
AYER KEROH 25 Jan. – Inisiatif Sekolah Kebangsaan Datuk Haji Baginda (SKDHB), di Umbai, dekat sini, menyediakan bahan bacaan pencuma dalam talian bagi murid-muridnya satu usaha terpuji.
Dinamakan sebagai ‘Pustaka Zaaba’, pelbagai bahan bacaan disediakan untuk dibaca dan menjadi rujukan bermanfaat buat murid khususnya di luar bandar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Sekali gus inisiatif dilaksanakan dapat membantu ibu bapa yang berpendapatan sederhana untuk menyediakan bahan bacaan untuk anak masing-masing.
Guru Perpustakaan dan Media SKDHB, Nor Haniza Ahmad berkata, ‘rak buku maya’ itu dibangunkan sejak Mac 2020, bagi menggalakkan murid membaca.
“Saya memikirkan kaedah terbaik untuk membolehkan murid sekolah ini membaca buku kerana majoriti mereka di kawasan luar bandar.
“Ada kalangan mereka datang dari keluarga berpendapatan rendah dan sukar untuk membeli buku sekolah.
“Oleh itu dengan adanya Pustaka Zaaba ini mereka boleh membaca buku percuma yang mudah diakses termasuk menggunakan telefon bimbit,” katanya kepada MHI.
Menurutnya, setakat ini terdapat 45 bahan bacaan disediakan dalam Pustaka Zaaba meliputi kategori tertentu antara sains, Bahasa Melayu, fiksyen, Bahasa Inggeris, buku cerita kanak-kanak serta novel.
“Untuk yang berminat membaca boleh layari https://anyflip.com/bookcase/qelpjsy dan rasai sendiri pengalaman membaca buku cerita di rak maya Pustaka Zaaba.
“Murid yang selesai membaca 20 buah buku boleh mengisi borang Google bagi mendapatkan sijil penghargaan dalam bentu e-sijil,” katanya.
Beliau berkata, pihak sekolah bercadang untuk menambah lagi bahan bacaan dalam talian supaya dapat dibaca semua golongan bukan setakat murid sekolah rendah malah sekolah menengah.
Sementara itu, Guru Besar SKDHB, Khairullaila Mukhtar berkata, setakat ini penggunaan rak maya Pustaka Zaaba diperluaskan kepada seramai 387 muridnya.
“Rata-rata ibu bapa suka sebab mereka tak perlu pergi mana-mana dapatkan bahan bacaan untuk anak-anak.
“Tiada alasan jika anak-anak tidak membaca buku sepanjang PKP kerana kita menyediakan bahan-bahan yang bermanfaat semasa di rumah,” katanya.