‘Situasi menang-menang’, beri pampasan kepada nelayan- Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 18 Mac – Kerajaan negeri menggesa Pelabuhan Tanjung Bruas Sdn Bhd dan Kumpulan Melaka Berhad (KMB) memberikan pampasan kepada golongan nelayan bagi memastikan ‘situasi menang-menang’ berkaitan isu tambakan laut dan pemanjangan jeti pelabuhan itu dapat dicapai.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan selepas pihaknya mengambil maklum keluh-kesah lebih 300 nelayan termasuk yang berdaftar mengenai isu berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri menyokong sekiranya perkara itu diambil perhatian kerana sumber pendapatan golongan itu bergantung kepada hasil laut dan tidak adil jika perkara itu dibiarkan berlanjutan.

“Jadi, Pelabuhan Tanjung Bruas Sdn Bhd dan KMB perlu melihat semula serta berbincang dengan nelayan di kawasan Melaka Selatan bagi mencapai situasi menang-menang dengan memberikan pampasan kepada golongan nelayan.

“Kedua-dua pihak juga perlu mempertimbangkan supaya golongan nelayan itu diberikan kebenaran untuk menangkap ikan di kawasan pelabuhan itu sepanjang pembinaan bagi pemanjangan jeti itu dijalankan,” katanya kepada pemberita pada sidang media pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di pejabatnya di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, permohonan bagi kebenaran menangkap ikan di kawasan itu bagaimanapun hanya dilakukan pada hari-hari tertentu berikutan kawasan pelabuhan itu adalah ‘lubuk’ ikan kepada nelayan.

Katanya, kerajaan negeri juga menafikan dakwaan wujudnya pelanggaran syarat mengenai pembinaan jeti berkenaan kerana pihaknya dimaklumkan pembinaan sepanjang 50 meter dan bukan 600 meter seperti didakwa.

“Sekiranya merancang untuk menambah pembinaan jeti itu, pihak pelabuhan itu dan KMB perlu mematuhi syarat-syarat tertentu termasuk menjalani Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sebelum mengemukakan permohonan baharu kepada kerajaan negeri.

“Dan proses itu mengambil masa sehingga lapan tahun untuk siap sepenuhnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

411
Kongsi :
Previous post MPHTJ mula terima permohonan Bazar Ramadan
Next post Kerajaan negeri nafi hutan paya bakau Tanjung Tuan ‘nazak’
Ubah saiz-+=