
SITI NURHALIZA BAKAL ‘GEGAR’ RUMAH TERBUKA KETUA MENTERI MELAKA MALAM INI?
TANJUNG BIDARA 19 April – Penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dikatakan menjadi antara tetamu jemputan yang bakal menyerikan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri YAB Ketua Menteri Melaka di Villa d’Acqua Kampung Pulau, di sini, malam ini.
Siti Nurhaliza yang juga biduanita negara juga dijangka akan turut membuat persembahan bagi menghiburkan rakyat Melaka pada majlis itu bersama beberapa nama besar lain.
Antara artis lain yang turut diundang adalah Datuk Awie, Datuk Datuk Nash dan Azlan & The Typewriter.
Selain itu, turut disediakan adalah pertunjukan bunga api serta pelbagai persembahan pentas yang lain.

Majlis pada malam ini bakal diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Tetamu yang hadir boleh menikmati pelbagai jenis makanan di lebih 70 kios dan gerai makanan berserta 10 kendera saji (food truck) disediakan pada majlis ini.
Antara juadah yang disajikan adalah seperti sate, kambing golek, aneka kuih-muih, aneka nasi dan mi serta pelbagai lagi.
Dianggarkan 50,000 rakyat akan hadir memeriahkan sambutan yang bermula sejak jam 3 petang tadi dan dijadual berakhir pada jam 11 malam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.