Sorting by

×

SITA TERNAKAN JIKA DIKESAN BERKELIARAN DI KAWASAN AWAM

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER LIMAU 14 Oktober – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menegaskan pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi mengatasi isu ternakan berkeliaran dalam kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, jalan baharu Kampung Jeram-Kampung Solok Ayer Limau antara lokasi diberi perhatian berhubung isu ternakan berkeliaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada menimpa pengguna jalan raya.

Menurutnya, satu prosedur operasi standard (SOP) akan dikeluarkan pihaknya bagi tujuan operasi pemantauan dan menangkap ternakan di lokasi ‘hot spot’ sekitar daerah itu.

“Pemantauan awal telah dilaksanakan di laluan berkenaan yang baru sahaja dibuka kepada orang ramai, jika ada ternakan berkeliaran kami akan terus sita untuk tindakan selanjutnya.

“Kami juga melaksanakan penyelarasan bersama jabatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk melancarkan lagi urusan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Photo 2023 02 01 13 13 41
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau, menasihatkan pemilik ternakan agar lebih bertanggungjawab dan tidak melepaskan haiwan seperti lembu atau kerbau di lokasi awam kerana ia hanya akan membahayakan orang ramai.

Jelasnya tindakan sitaan dan pengeluaran kompauan kepada pemilik ternakan terbabit adalah berdasarkan kepada Undang-undang Kecil Perlesenan Haiwan Ternakan (MPAG) 2012.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

591
Kongsi :
Previous post RASAI PENGALAMAN BERMALAM DI KOMPLEKS HANG TUAH CENTRE
Next post ‘INGAT PENGORBANAN IBU BAPA, SEDIA BANGUNKAN JATI DIRI’
Ubah saiz-+=