Sistem tanpa tunai perlu ada keseimbangan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

SERI NEGERI 16 Januari – Digitalisasi yang menjadi transformasi baharu perkhidmatan awam di negeri ini perlu seimbang dan sesuai dengan kepakaran golongan sasaran.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia termasuklah membabitkan penggunaan sistem tanpa tunai (cashless) yang kadangkala menjadi permasalahan besar buat sesetengah individu terutamanya warga emas.

Justeru, beliau meminta peralihan kepada sistem tanpa tunai di jabatan dan agensi kerja perlulah seimbang dan tidak menyukarkan golongan tertentu.

“Saya memang menekankan digitalisasi dan e-Kerajaan bagaimanapun dalam hal ini perlu ada keseimbangan. Pada masa kita mahu beralih kepada pembayaran tanpa tunai, penjawat awam juga perlu menyesuaikan dengan keadaan terutama kepada pemegang taruh golongan veteran dan warga emas yang masih tidak menguasai kaedah pembayaran itu.

“Maka hulurkan tangan dan bantu mereka agar nikmat kemudahan dapat dikecapi dan dirasai oleh mereka yang memerlukan. Saya tidak mahu ada sebarang aduan berkaitan perkara ini berlaku, termasuk agensi Kerajaan Persekutuan.

“‘Expectation’ rakyat kepada kerajaan dan penjawat awam sangat tinggi, maka cara berfikir, cara bekerja dan cara bertindak penjawat awam juga perlu berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Amanat Penjawat Awam Negeri Melaka Tahun 2023 di Auditorium Seri Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), serta ketua-ketua jabatan dan agensi Kerajaan.

Dalam pada itu Sulaiman berkata, setiap penjawat awam harus berupaya melakukan inovasi dalam perkhidmatan mereka, termasuklah menambah baik peraturan dan cara kerja lapuk.

“Dalam menyantuni urusan bersama dengan rakyat terutama di kaunter-kaunter perkhidmatan agar penyelesaian aduan dan isu-isu dalam kalangan rakyat dapat ditangani dengan tuntas.

“Tahun ini, saya berharap jabatan-jabatan dapat menambah baik sistem perkhidmatan sedia ada terutamanya yang telah lapuk. Mudah dan ringkaskan borang-borang permohonan, singkatkan masa urusan di kaunter dan perbanyakkan perkhidmatan dalam talian.

“Santuni setiap aduan dan tindakan sewajarnya, bantulah sedaya upaya kita. Jika aduan tersebut melibatkan jabatan atau agensi lain, bantulah sehingga dapatkan pegawai yang boleh dihubungi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1411
Kongsi :
Previous post Petik dan bayar, produk pelancongan baharu?
Next post Kes COVID-19 menurun, Melaka tidak wajibkan pelitup muka
Ubah saiz-+=