Sorting by

×

Sistem Raja Berperlembagaan jadi faktor penstabil apabila situasi getir

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Sistem Raja Berperlembagaan menjadi faktor penstabil apabila negara berdepan dengan situasi yang getir, kata Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata ini boleh dianggap sebagai satu kelebihan kerana aktiviti ekonomi akan dapat diteruskan dalam suasana norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sebelum ini, terdapat kebimbangan sekiranya darurat diumumkan dan kerisauannya tidak lain dan tidak bukan adalah (impak kepada) ekonomi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

KETUA Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid. Foto internet

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Seri Paduka merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak COVID-19 ini dengan baik dan berkesan.

“Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang adalah amat penting kepada rakyat,” menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara semalam.

Menurut baginda, Belanjawan 2021 itu amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,” kata Ahmad Fadil.

Mohd Afzanizam berkata sektor kesihatan dijangka akan menerima lebih banyak peruntukan bagi memastikan negara sentiasa mempunyai kapasiti yang tinggi untuk menghadapi COVID-19.

Beliau berkata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah memberi amaran mengenai nilai kebolehjangkitan atau paras nilai R-Naught (RO) 2.2 adalah merbahaya dan kapasiti negara tidak mencukupi sekiranya angka ini dicapai.

“Buat masa ini, RO kita masih rendah tetapi melebihi angka 1, justeru, perlu ada persiapan yang rapi bagi menghadapi situasi wabak ini yang membelenggu negara.

“Kemungkinan peruntukan untuk peralatan perlindungan diri (PPE), hospital sementara, alat bantuan pernafasan dan sebagainya akan ditingkatkan dalam Belanjawan 2021,” katanya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 Nov ini pada persidangan Dewan Rakyat.

— BERNAMA

Views:

419
Kongsi :
Previous post Tun Seri Setia Mohd Ali terima kunjungan hormat CEO MHI
Next post PM pengerusi mesyuarat khas bersama Jemaah Menteri
Ubah saiz-+=