SISTEM E-TANAH WADAH TRANSFORMASI PENTADBIRAN TANAH

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

PUTRAJAYA 6 November – Pemeteraian Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah bagi Negeri Melaka merupakan satu manifestasi komitmen dan kolaborasi erat di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan syarikat swasta.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, melalui kerjasama itu, ketiga-tiga pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk memastikan Sistem e-Tanah yang dibangunkan secara Kerjasama Awam Swasta berjaya.

Malah, ujar beliau, kerjasama seumpamanya juga akan menjadi wadah transformasi dalam melahirkan perkhidmatan pentadbiran tanah yang lebih baik.

“Pelaksanaan Sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta ini juga akan merangkumi pembekalan perkakasan dan perisian termasuk penyelenggaraan di sepanjang tempoh konsesi, technology refresh, latihan yang berterusan serta pemindahan teknologi kepada warga kerja pentadbiran tanah Melaka.

“Pelaksanaan Sistem e-Tanah di Negeri Melaka adalah secara komprehensif yang akan merangkumi pembangunan sistem berdasarkan sembilan modul pentadbiran tanah iaitu pendaftaran, hasil, strata, pelupusan, pembangunan, penguatkuasaan, pengambilan dan consent.

“Ia akan diguna pakai secara seragam di semua Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Pejabat Tanah Daerah (PTD) Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam Swasta Bagi Negeri Melaka di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr. K. Ching Too; Pengerusi Eksekutif Syarikat Puncak Tegap Sdn Bhd, Syed Azmin Syed Nor dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata uniknya Sistem e-Tanah adalah sistem dibangunkan berdasarkan keperluan dan kesesuaian di negeri dengan berpaksikan perundangan yang berkuat kuasa seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara dan undang-undang lain yang berkaitan.

Jelasnya, bagi Melaka, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, Sistem e-Tanah telah dibangunkan dengan lebih awal sebagai projek rintis dengan menggunakan peruntukan pembangunan.

“Sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta ini dilihat sebagai satu usaha yang pragmatik sejajar dengan kepesatan pembangunan dan cabaran era digital yang menuntut kita untuk melaksanakan sistem yang lebih komprehensif dan mesra pengguna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

87
Kongsi :
Previous post MELAKA TUBUH PASUKAN ‘CORE BUSINESS GROUP’ JAYAKAN INISIATIF E-TANAH
Next post PORT ‘GLAMPING’ BAHARU DI PUNCAK LAKSAMANA
Ubah saiz-+=