Sirim bantu bangunkan vaksin COVID-19

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

SHAH ALAM 1 Ogos – SIRIM Bhd akan bekerjasama dengan institusi tempatan dalam kajian di peringkat permulaan pembangunan vaksin COVID-19 di Malaysia, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Ahmad Sabirin berkata, tiga institut terbabit iaitu Institut Kajian Perubatan (IMR), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Veterinar di Ipoh, Perak serta SIRIM berupaya melaksanakan pengujian bagi vaksin yang dibangunkan oleh tiga agensi ini.

“SIRIM sedia memainkan peranan penting dalam memberi keyakinan kepada pembangunan vaksin tempatan, agar mematuhi standard antarabangsa bagi keselamatan, keberkesanan dan proses pembuatan.

“SIRIM telah mengadakan perbincangan dengan pihak IMR untuk turut sama menyumbang dalam pembangunan vaksin tersebut di peringkat pra-klinikal sebelum ‘clinical trials’ dan peringkat penghasilan vaksin pada skala pilot,” katanya.

PRESIDEN dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad. Foto – SIRIM.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Vaksinasi Pandu Lalu SIRIM-Vaksin Selangor (Selvax) yang berlangsung selama satu hari di Ibu Pejabat SIRIM, di sini yang dikendalikan oleh Selgate Healthcare Sdn Bhd.

Ahmad Sabirin berkata SIRIM juga mempunyai fasiliti untuk menjalankan ujian berkenaan di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian Pengurusan (IBRC) yang telah memenuhi kriteria makmal ujian yang diperlukan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Kita punya fasiliti IBRC di SIRIM ini…di mana kita mempunyai kelengkapan yang komprehensif di Malaysia bagi pengujian vaksin di negara ini, jadi kita cuba bekerja secara kolaboratif dengan semua agensi yang ada,” katanya.

Sebelum ini Ahmad Sabirin berkata, SIRIM telah melaksanakan pelbagai peringkat ujian ke atas vaksin Sinovac untuk mengesahkan proses serta memastikan produk akhir vaksin itu adalah selamat dan berkesan kepada penerima.

Ahmad Sabirin berkata, ujian ke atas vaksin Sinovac yang diamanahkan kepada SIRIM melibatkan keperluan fasiliti yang lengkap dan makmal berstatus Amalan Makmal Baik (GLP).

Jelasnya, SIRIM menghasilkan data sokongan untuk proses pengesahan dan pemeriksaan kualiti untuk kumpulan vaksin ‘fill’ and ‘finish’, manakala NPRA memeriksa data tersebut secara terperinci sebelum membuat keputusan untuk meluluskan vaksin ataupun tidak.

“Bagi ujian ketoksikan, SIRIM menjalankan ujian Abnormal Toxicity di mana kumpulan vaksin yang telah ‘fill’ and ‘finish’ mengikut kumpulan kestabilan tertentu, manakala untuk pengujian keberkesanan, ujian ‘Immunoassay Relative Potency’ dijalankan, di mana vaksin secara pukal yang diterima bersama vaksin rujukan (reference vaccine),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SIRIM Berhad Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali berkata, SIRIM menganjurkan program ini bagi memastikan anggota kerja SIRIM selamat untuk keluar bekerja.

“Pada masa ini, pejabat SIRIM di Sabah dan anak syarikat SIRIM iaitu National Precision Tooling Sdn Bhd telah berjaya melengkapkan vaksinasi anggota kerjanya pada bulan ini. Program pandu lalu ini hari ini bertujuan mempercepatkan proses vaksinasi dan mencapai imuniti kelompok,” katanya dalam sidang media itu.

Terdahulu seramai 120 kakitangan SIRIM Shah Alam dan keluarga mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang masih belum mendapat temujanji vaksin COVID-19, menerima dos pertama mereka semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post Melaka sekali lagi ‘pencetus’ pingat Olimpik Tokyo! – Sulaiman
Next post Vaksinasi secara ‘walk-in’ di Lembah Klang mula esok
Ubah saiz-+=