Sorting by

×

‘Sireh pulang ke gagang’

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

Kuala Lumpur: Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah universiti itu, bermula esok.

Berita gembira itu dikongsikan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad  dan universiti berkenaan menerusi hantaran melalui akaun rasmi Facebook mereka, semalam.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Ibrahim, 73, atas pelantikan itu dan menyifatkan bekas Naib Cancelor kedua, UiTM itu tokoh berwibawa bagi menggalas tanggungjawab besar itu.

“Tahniah saya ucapkan kepada Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah atas pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Saya yakin berbekalkan pengalaman luas dalam dunia pendidikan di negara ini, beliau mampu meneruskan kegemilangan UiTM dalam usaha membantu anak Bumiputera mendapat pendidikan tertinggi dan menghasilkan profesional bersaing di dalam dan luar negara,” katanya.

Foto tangkap layar FB Noraini

Noraini berkata, Ibrahim bukan asing dengan universiti itu apabila dilantik sebagai Naib Canselor Kedua UiTM bagi tempoh sembilan tahun bermula pada 1 Januari 2001 dan bersara pada 31 Disember 2009.

Sementara itu, memetik laporan portal berita Harian Metro, pelantikan itu difahamkan bagi tempoh tiga tahun bermula 18 Januari 2021 hingga 17 Januari 2024.

Ibrahim yang juga anak jati Melaka menggantikan pengerusi sebelum ini, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yang tamat perkhidmatan kelmarin.

Pada 14 Oktober 2017, beliau dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus pada Istiadat Konvokesyen ke-87, UiTM.

Views:

1357
Kongsi :
Previous post Sesi persekolahan Rabu ini hanya untuk calon peperiksaan utama bagi 2020
Next post Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia meletus, status ‘waspada’
Ubah saiz-+=