‘Single origin’ di Panchor sumbang produktiviti koko negara
DURIAN TUNGGAL 3 Julai – Koko premium yang dikenali sebagai ‘single origin’ berjaya dihasilkan menerusi satu perusahaan di Panchor sekali gus menyumbang kepada mutu penghasilan coklat di negara ini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, penghasilan koko premium itu menimbulkan satu citarasa baharu hasil penanaman yang dilaksanakan mengunakan kaedah integarsi koko dan kelapa.
Ujarnya, menerusi kaedah plot penamanan yang diusahakan oleh syarikat Ting Agro Enterprise itu telah mengeluarkan biji koko kering bagi pembuatan produk coklat dan konfiksineri tempatan.
“Apabila kaedah penanaman integrasi bersama kelapa ini dijalankan kita dapati ia memang ada rasa istimewa dari coklat dihasilkan dan inilah kelebihan negara kita apabila nak buat produk baharu ia fokus kepada biji koko stempat dan dipanggil sebagai single origin.
“Malaysia memang dikenali sebagai negara yang menghasilkan kualiti koko terbaik dan hasil transaksi belian biji koko kering single origin pada suku pertama tahun ini mendapati sebanyak 10.94 tan metrik direkodkan dengan sebanyak 7.5 peratus pengeluaran biji koko dalam tempoh itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media setelah melakukan lawatan kerjanya di Plot Koko Single Origin di Kampung Panchor, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, bagaimanapun setakat ini negara sedang berdepan cabaran dalam industri terbabti selepas mendapati terdapat kekangan dalam menghasilkan bahan mentah daripada produk terbabit.
Jelasnya ia berikutan terdapat kekangan dalam penanaman yang dijalankan seperti dilanda penyakit dan sebagainya.
“Kita kena tambah penanaman koko ini dengan teknologi yang ada dan berharap Malaysia akan berada ke depan dalam industri ini dan dijangkakan lebih 5,000 kilogram koko akan dihasilkan pada tahun ini bagi memenuhi permintaan pengeluar coklat premium tempatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.