‘Singgit Seposen’ kutip 26,000kg sisa kitar semula

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PENGKALAN BATU 21 Oktober – Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) berjaya mengutip 26,000 kilogram (kg) kutipan sisa kitar semula menerusi Program ‘Singgit Seposen’ sejak 2021 hingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Ismail Hasim berkata, jumlah itu membabitkan pembayaran sebanyak RM13,000 kepada masyarakat yang melakukan kitar semula menerusi program berkenaan.

Sepanjang tahun ini, pihaknya telah berjaya mengutip sejumlah 7,000kg janaan sisa kitar semula dengan nilai bayaran sebanyak RM4,000.

“Kita menyasarkan tiga lagi program sama akan dijalankan sehingga akhir tahun ini. Ini seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri mahu mencapai 45 peratus pengurangan pelepasan gas rumah hijau pada tahun 2035.

“Menerusi program ini, kita mahu mendidik masyarakat mengenai penjagaan alam sekitar sekaligus mereka menerima bayaran terhadap barangan sisa terpakai yang dijual kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Kitar Semula “Singgit Seposen” Infineon dan Komuniti yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin di tapak parkir kakitangan pekerja Infineon (POKABA), di sini, hari ini.

IMG-20231021-WA0019
ISMAIL

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Ketua Pegawai Kewangan Infineon Technologies, Florrian Herrmann.

Mengulas lanjut, katanya sambutan yang diterima sejak penganjuran program itu amat menggalakkan dan ia akan diteruskan pada tahun-tahun seterusnya.

“Menerusi program ini, sebanyak tujuh sisa iaitu minyak masak, fabrik, elektronik, tin aluminium, botol kaca, kertas dan botol plastik akan dibeli daripada pengguna pada harga antara 10 sen hingga RM2.50 sekilogram, bergantung kepada kategori sisa terbabit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

995
Kongsi :
Previous post IPT milik Kerajaan Negeri perlu lakukan anjakan paradigma
Next post Perzim teruskan kajian Makam Tok Langgar
Ubah saiz-+=