Singapura, Malaysia setuju teruskan kerjasama tangani cabaran Covid-19

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

SINGAPURA 13 Julai  – Singapura dan Malaysia bersetuju supaya kerajaan masing-masing wajar meneruskan kerjasama dalam usaha menangani cabaran bersama yang dihadapi daripada pandemik COVID-19.

Persetujuan itu dicapai oleh perdana menteri masing-masing, Lee Hsien Loong dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Luar Negara (MFA) republik itu pada awal Isnin.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan perbualan pada Ahad antara Lee dengan Muhyiddin yang menghubungi pemimpin Singapura itu menerusi telefon untuk mengucapkan tahniah kepada beliau atas kejayaan parti pimpinannya Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi pilihan raya umum.

Pada pilihan raya umum 10 Julai, PAP dipimpin Lee, selaku setiausaha agung parti itu, kekal berkuasa selepas memenangi 83 daripada 93 kerusi yang dipertandingkan.

Menurut kenyataan itu, Lee dan Muhyiddin turut berbincang mengenai hubungan kukuh dan positif antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin menyambut baik kemajuan dicapai kedua-dua pihak dalam pelbagai inisiatif dua hala, termasuk projek kesalinghubungan  rentas sempadan dan pergerakan rakyat, katanya.

Muhyiddin, dalam catatan di laman Facebook beliau pada Ahad, menyentuh tentang panggilan telefon kepada Lee dan berkata, antara lain, beliau yakin hubungan dua hala sedia ada akan terus bertambah kukuh di bawah kepimpinan Lee.

Beliau berkata mereka menzahirkan komitmen masing-masing untuk mengadakan pertemuan selepas situasi COVID-19 di kedua-dua negara telah reda untuk membincangkan pelbagai isu dengan lebih lanjut.

— BERNAMA

Views:

402
Kongsi :
Previous post Dua kampung di Jasin dilanda banjir kilat
Next post Banjir kilat di Jasin terkawal, tiada PPS dibuka
Ubah saiz-+=