Sindiket seludup rokok tumpas
KUALA LINGGI, 4 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menumpaskan sindiket penyeludupan rokok putih pelbagai jenis serta menyita bot dan empat kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM800,000 di perairan Pulau Perjudi, dekat Negeri Sembilan tengah malam tadi.
Serbuan yang dijalankan oleh 30 pegawai dan anggota APMM bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada jam 12.35 tengah malam itu turut menahan seorang lelaki warga tempatan dan tujuh lelaki warga asing berusia antara 25 hingga 68 tahun.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, hasil risikan bersepadu di bawah Ops Benteng itu, pihaknya menemukan bot pancung tanpa nombor menggunakan empat enjin 200 kuasa kuda dilihat berada di lokasi 0.6 batu nautika timur laut pulau berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa muatan 305 kotak mengandungi lebih 3 juta barang rokok yang diseludup dari Pulau Ru Pat, Indonesia untuk pasaran Negeri Sembilan dan Melaka.
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas bot pancung serta empat kenderaan pacuan empat roda yang digunakan dalam sindiket penyeludupan itu dan semua kenderaan itu dibawa ke ibu pejabat APMM untuk tindakan lanjut.
“Semua nilai rampasan termasuk rokok seludup serta sitaan harta dianggarkan bernilai RM800,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, siasatan lanjut mendapati sindiket itu menyeludup rokok berkenaan dari negara jiran dan pihaknya mengenal pasti bot tersebut membawa muatan barang seludup itu ke kuala Sungai Kampung Sekawang, dekat sini.
“Di situ, sindiket itu akan memunggah kotak rokok itu ke dalam kenderaan 4X4 untuk dibawa masuk ke dalam negara ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan memohon perintah reman esok dan semua suspek dijangka akan direman selama 15 hari untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, yang jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.