Sorting by

×

Sindiket rekrut penganggur terjejas COVID-19 jual dadah tumpas

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 15 Jun – Polis Melaka menumpaskan sindiket pengedaran dadah ‘Hafiz Padang Temu’ yang turut merekrut penganggur terjejas akibat pandemik COVID-19 susulan penahanan lima lelaki termasuk ketuanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, kesemua suspek berusia 29 hingga 44 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh pasukan JSJN negeri Sabtu lalu dan semalam.

Hasil dua serbuan dan pemeriksaan di rumah ibu mentua ketua sindiket dikenali Hafiz, berusia 29 tahun, polis menyita harta keseluruhan berjumlah RM340,938 membabitkan wang tunai, kenderaan dan barang kemas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka, Superintenden Zulkiflee Rashid

Menurut Zulkiflee, tangkapan dibuat susulan maklumat risikan mendapati kelima-lima suspek aktif mengedar dadah termasuk merekrut ejen-ejen dalam kalangan penganggur yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.

“Ejen-ejen ini dipercayai diupah RM2,000 atau lebih mengikut ‘pangkat’ untuk setiap kilogram dadah jenis syabu, heroin dan ganja yang dijual kepada penagih di Melaka.

“Sejak tahun lalu, kita telah menangkap kira-kira 10 ejen sindiket ini berusia antara 20 dan 40 tahun,” katanya ketika dihubungi MHI di sini hari ini.

Dalam serbuan pertama di Sepang, Selangor jam 4 petang Sabtu lalu, katanya, polis merampas sebuah Toyota Vios, wang tunai RM3,090 dan pelbagai jenis barang kemas keseluruhannya bernilai RM60,830.

Hasul ujian saringan air kencing, Zulkiflee berkata, kesemua suspek positif methamphetamine selain turut mempunyai 10 hingga 14 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.

KERETA jenis Toyota Vios, barang kemas dan wang tunai yang turut disita.

Manakala dalam serbuan kedua semalam, polis menahan seorang lagi ahli sindiket, lelaki berusia 44 tahun di sebuah kondominium di Desa Park City, Kuala Lumpur pada jam 5.45 pagi.

“Hasilnya, polis merampas sebuah kereta Volkswagon Golf bernilai RM240,000 dan wang tunai RM1,800 selain suspek turut positif methamphetamine.

“Kemudian pada jam 7.21 malam hari yang sama semalam, polis memeriksa rumah ibu mentua ketua sindiket yang turut tinggal bersama isterinya di Tanjung Kling dan menyita sebuah kereta, motosikal serta barang kemas keseluruhan bernilai RM38,308,” katanya.

KERETA jenis Volkswagon Golf bernilai RM240,000 yang disita.

Zulkiflee menambah, siasatan mendapati sindiket ini memperoleh bekalan dadah sekitar Lembah Klang.

“Hasil tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan bagi pasaran Melaka sejak tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, semua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Views:

760
Kongsi :
Previous post RELA nafi daftar anggota tanpa kebenaran
Next post Lelaki elak ditahan polis, langgar mati warga emas
Ubah saiz-+=