Sorting by

×

Sindiket penyeludupan kini guna dron

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KOTA TINGGI 23 Feb. – Sindiket penyeludupan kini dikesan telah mengubah modus operandi mereka termasuk menggunakan teknologi dron dalam menjalankan aktiviti penyeludupan migran dan barangan.

Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata taktik tersebut digunakan bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa yang menjalankan rondaan Op Benteng di perairan negara.

“Kita tengok dulu, trend mendarat mereka (sindiket penyeludupan) lebih kepada waktu tengah malam hingga awal pagi tetapi sejak sering berjaya dikesan pihak berkuasa, mereka telah mengubah modus operandi.

“Malah hasil laporan diterima daripada unit-unit yang melaksanakan Op Merpati di bawah Op Benteng dan sebagainya, mereka juga telah dikesan menggunakan teknologi dron dalam mengesan pergerakan atau atur gerak pasukan-pasukan keselamatan,” katanya pada sidang media selepas melawat Markas Taktikal Tanjung Sepang, Bandar Penawar bagi meninjau Op Benteng di perairan Johor hari ini .

Muhammad Hafizuddeain berkata pihak risikan masih memantau situasi berkenaan dan sehingga kini pihaknya belum mengambil tindakan drastik seperti menembak jatuh pesawat dron yang dikenal pasti oleh radar tentera.

Sementara itu, mengenai Op Benteng, Muhammad Hafizuddeain berkata sejak operasi dilaksanakan pada 16 Mei tahun lepas melibatkan kawasan pesisiran pantai sepanjang 220 kilometer di Johor, pihak berkuasa berjaya menahan 26 tekong dan 1,252 migran selain merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM3.7 juta.

Katanya, angka ini meningkat sebanyak 200 peratus berbanding kejayaan yang pernah direkodkan sebelum Op Benteng dilaksanakan.

“Kejayaan ini kerana kita bekerjasama dengan pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen. Jadi, boleh dikatakan kita lebih fokus dan efektif dalam menangani isu penyeludupan migran dan barangan berbanding bekerja secara berasingan sebelum ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

870
Kongsi :
Previous post Kemaskini MySejahtera untuk daftar suntikan vaksin COVID-19
Next post Suami isteri curi barang farmasi, pasar raya ditahan
Ubah saiz-+=