Sindiket penipuan pembantu rumah ligat ketika krisis COVID-19
“Sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya seorang sahaja yang boleh keluar rumah selain mereka yang dibenarkan ke tempat kerja… saya mencari pembantu rumah untuk menjaga anak, tetapi mengejutkan apabila yang datang bukan seperti yang diminta.”
Itu antara keluhan mangsa sindiket penipuan pembantu rumah, pelakon dan penyanyi Azza Elite atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 44, kepada Bernama yang kecewa apabila mendapat pembantu rumah yang tidak seperti dijanjikan.
Apa yang dialami beliau ini adalah antara modus operandi “sindiket menjual pembantu rumah” biarpun ketika negara dilanda krisis pandemik COVID-19.
Eksploitasi sindiket ini yang rakus dengan kegiatan jenayah pemerdagangan manusia termasuk pembantu rumah membuatkan ramai mangsa ‘berputih mata’ kerana bukan sahaja gagal mendapatkan pembantu rumah yang dimahukan bahkan terpaksa menanggung kerugian sehingga ribuan ringgit.
Ketika seluruh negara bergelut menghadapi krisis COVID-19, anggota kumpulan sindiket ini begitu licik menjerat mangsa.
LAIN YANG DIMINTA, LAIN YANG DITERIMA
“Ikutkan syarat, saya minta yang berusia 40 tahun ke atas dan boleh menjaga kanak-kanak. Namun agensi ini beri saya pembantu rumah yang sudah berusia hampir 70 tahun dan tidak berminat serta tidak mahu menjaga anak saya,” kata Azza ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Pembantu rumah itu hanya bekerja tiga hari sahaja dan Azza mengambil tindakan ‘memulangkan’ kembali amah yang berasal dari Indonesia itu kepada agensi yang membekalkan pembantu rumah itu.
Namun pihak agensi bukan sahaja tidak menggantikan amah yang baharu bahkan wang juga tidak dikembalikan.
Kecewa dengan apa yang berlaku, Azza memuat naik inisiden berkenaan di Instagram miliknya dan selepas kisah itu tular di media sosial, pihak agensi hanya memberi sedikit bayaran pulangan.
“Nasihat saya kepada masyarakat di luar sana, hati-hati apabila mencari pembantu rumah. Tanya dan selidik dahulu dari rakan-rakan kita yang pernah ambil pembantu rumah dengan ejen yang dipercayai dan berdaftar,” katanya yang kini menguruskan sendiri anaknya, Muhammad Adam (anak angkat), 4, bersama suami Azlan Zulaily, 35.
BUKAN ISU BAHARU
Selain Azza, hakikatnya terdapat ramai lagi menjadi mangsa kumpulan sindiket pembantu rumah.
Baru-baru ini juga tular kisah pasangan suami isteri yang mengalami kerugian RM30,000 dalam masa 12 minit akibat ditipu berhubung perkhidmatan mengemas rumah.
Wang di dalam akaun bank milik pasangan itu lesap selepas membuat tempahan servis mengemas rumah.
Mengulas isu sama, Pensyarah Kanan Kerja Sosial dan Pembangunan Komuniti, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr Samir Muhazzab Amin berkata, isu penyeludupan migran untuk pembantu rumah bukanlah satu perkara baharu.
Menurut beliau, walaupun tiada angka sebenar kes itu dapat direkodkan setakat ini, namun laporan media mengenai jenayah berkaitan pemerdagangan manusia atau migrasi khususnya penipuan pembantu rumah dilihat semakin meningkat apabila ramai mangsa tampil berkongsi pengalaman pahit mereka.
“Apabila berlaku COVID-19, semua sektor yang melibatkan pekerja asing terjejas. Sebagai contoh sektor pembinaan dan restoran turut terjejas kerana kerajaan membuat penghantaran pulang pekerja asing dan sektor pembantu rumah turut terlibat.
“Walaupun ramai yang bekerja dari rumah (BDR) pada awal PKP, tetapi kemudiannya berlaku pembukaan sektor perniagaan dan perkhidmatan secara berperingkat selepas sektor ekonomi dan sosial dibuka semula bermula Mei 2020 (selepas negara berdepan PKP FASA 1).
“Ini secara langsung mewujudkan permintaan (tenaga kerja) yang tinggi. Permintaan yang tinggi dan bekalan rendah mengundang kepada berlakunya aktiviti penipuan sindiket ini. Permintaan tinggi untuk khidmat pembantu rumah pun berlaku setelah pembukaan semula sektor pekerjaan, apatah lagi tempoh PKP yang dilalui di negara agak lama bermula dari 2020 hingga 2021,” katanya.
OPERASI DI ALAM MAYA
Menyifatkan aktiviti sindiket itu amat membimbangkan ditambah pula selepas tiada lagi sekatan perjalanan apabila sempadan negara kembali dibuka sejak April lepas, Samir Muhazzab berkata, jenayah itu agak sukar dikesan berikutan ‘sesi jual beli’ dijalankan di alam maya.
“Pemerdagangan orang boleh berlaku di peringkat domestik serta melibatkan rentas sempadan yang melibatkan elemen eksploitasi, manipulasi dan ancaman terhadap mangsa yang terlibat. Penyeludupan migran merujuk kepada aktiviti rentas sempadan sama ada rela atau terpaksa.
“Dalam konteks jual pembantu rumah, saya melihat ia lebih kepada penyeludupan migran dan dalam masa sama melibatkan isu pemerdagangan orang,” katanya menambah, walaupun ia melibatkan pemerdagangan orang secara sukarela namun tetap salah di sisi undang-undang.
Terdapat dua taktik digunakan kumpulan sindiket untuk memperdayakan mangsa yang memerlukan khidmat pembantu rumah.
“Kaedah pertama ialah sindiket berkenaan menggunakan pembantu rumah yang berada di luar negara dengan cara menghantar gambar dan pasport pembantu rumah melalui aplikasi WhatsApp. Nombor WhatsApp adalah nombor dari seberang. Ini dilakukan bagi meyakinkan bakal majikan bahawa urusniaga tersebut adalah benar.
“Mereka kemudian memaklumkan bahawa pembantu tersebut bersedia untuk terbang tetapi semua kos penerbangan haruslah ditanggung oleh majikan. Kos tersebut termasuklah tiket kapal terbang dan kos pemeriksaan kesihatan, PCR test untuk COVID-19 dan sebagainya, dan kos tersebut haruslah di debitkan terlebih dahulu kepada mereka sebagai deposit, ” katanya.
Modus operandi kedua pula menggunakan pembantu rumah yang berada di dalam negara dengan cara memperdaya mangsa dengan menunjukkan gambar serta pasport pembantu rumah sebelum mangsa membayar kira-kira RM6, 000 hingga RM12, 000 kepada mereka.
“Namun selepas dua minggu atau selepas mendapat gaji bulan pertama amah akan lari. Ini (lari) memang mereka rancang bersama ejen dan duit deposit majikan tu mereka dah bahagikan sesama mereka.
“Sindiket yang kononnya ejen tu akan hantar pembantu rumah ke rumah majikan sebab mereka tak mahu majikan tahu lokasi mereka tinggal atau beroperasi. Nampak macam bagus servis mereka sampai hantar ke rumah tetapi sebenarnya memudahkan mereka ini menjalankan aktiviti penipuan atau scam,” katanya menambah modus operandi sama digunakan untuk menjerat mangsa yang lain.
TINGKAT PENGUATKUASAAN
Berpendapat pihak berkuasa perlu mempertingkatkan penguatkuasaan dalam membendung jenayah pemerdagangan pembantu rumah, beliau berkata, dibimbangi jenayah berkenaan akan memberi mudarat kepada sektor ekonomi, kesihatan serta keselamatan negara.
“Kesan kepada ekonomi ialah peluang pekerjaan rakyat tempatan diambil oleh rakyat asing. Dari segi kesihatan sukar untuk membendung wabak penyakit yang dibawa masuk oleh warga asing. Kawasan yang dimonopoli oleh warga luar biasanya tidak berada dalam keadaan bersih, “ katanya.
Samir Muhazzab menjelaskan, warga asing biasanya mendirikan rumah mereka di kawasan penempatan haram (setinggan) yang sempit, tidak mempunyai sistem longkang yang baik, sistem buangan sisa pepejal yang tidak sempurna dan tidak mempunyai sistem pembuangan sampah yang baik.
Keadaan berkenaan boleh menyebabkan wabak penyakit seperti demam denggi mudah merebak dan sukar dikawal.
“Disebabkan mereka tidak mempunyai sistem pembuangan sampah yang baik, sampah dibuang daripada tingkap rumah. Ada yang prihatin akan membakar sampah tersebut, tetapi menyebabkan berlakunya pula pencemaran udara.
“Selain itu, mereka yang berstatus “pendatang tanpa izin” tidak dapat vaksin dan boleh menyebabkan imuniti kelompok kita secara keseluruhan terjejas. Sebagai contoh, Malaysia telah diisytiharkan bebas daripada penyakit batuk kering atau TB dalam tempoh masa yang lama, tetapi disebabkan oleh kebanjiran warga asing, penyakit ini muncul semula, “ tambahnya.
Menurut beliau lagi, kebanyakan warga asing yang datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai buruh juga tidak mempunyai budaya kebersihan yang baik.
“Sebagai contoh, sekiranya kita bersiar-siar di kawasan yang berhampiran antara Kompleks Kota Raya dan Pasar Seni, kita akan dapati kawasan ini dimonopoli oleh warga asing yang suka makan sirih. Jika kita amati, kita akan dapati jalan tersebut terdapat tompokan warna merah dipercayai berpunca daripada sisa sirih yang diludah ke atas jalan.
“Keselamatan negara juga boleh tergugat kerana dibimbangi akan berlaku banyak jenayah menyebabkan kualiti hidup masyarakat akan merudum.
“Kadar jenayah seperti mencuri dan merompak juga tinggi di kawasan yang dihuni oleh warga asing berpunca daripada kesempitan hidup. Selain itu, wujud juga kongsi gelap warga asing bagi menjaga kepentingan kumpulan masing-masing, ” dakwa beliau.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.