Sindiket pengedaran dadah ahli keluarga ‘Geng Misai’ tumpas
BANDA HILIR 28 Sept. – Tindakan seorang lelaki digelar ‘Misai’ menjadikan ahli keluarga dan kenalan rapat sebagai anggota sindiket pengedaran dadah terbongkar apabila diberkas polis Sabtu lalu.
Penahanan suspek berusia 64 tahun dan bekerja sebagai mekanik itu dibuat sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, dua anak lelaki dan seorang menantu perempuan lelaki itu serta dua kenalan rapat mereka berumur antara 21 hingga 64 tahun ditahan dalam beberapa serbuan di Pangsapuri Hilir Kota di Bandar Hilir di sini dan Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru bermula 7.30 malam pada Sabtu hingga 2 pagi Ahad lalu.
“Menariknya dalam kes ini kita dapati kumpulan pengedar ini melibatkan ahli keluarga yang mana kita percaya suspek utama yang kita gelar Misai, membekalkan dadah untuk diedarkan oleh ahli keluarga dan kenalan rapatnya.
“Tangkapan pertama melibatkan empat individu termasuk anak lelaki dan menantu perempuannya berusia 21 tahun itu di Pangsapuri Hilir Kota.
“Penahan empat suspek itu membawa kepada penahanan Misai dan seorang lagi anak lelakinya di rumahnya di Kampung Hilir Sungai Baru,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka Senior Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka Superintendan Zulkiflee Rashid.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, menerusi serbuan dilakukan polis turut merampas dadah syabu anggaran berat 7.5 kilogram bernilai RM223,100 yang ditanam di bawah rumah suspek utama itu.
“Hasil siasatan polis percaya dadah berkenaan dibekalkan kepada anak, menantu dan kenalan mereka untuk diedarkan di sekitar Melaka khususnya di Kuala Sungai Baru,” katanya.
Mengulas lanjut Abdul Majid berkata, hasil saringan air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah Methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Manakala seorang lagi lelaki dan menantu perempuan suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau,” katanya sambil menambah polis turut merampas kereta dan wang tunai RM3,000.
Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari bermula Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.