Sorting by

×

Sindiket pelacuran guna aplikasi ‘Wechat’ tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KOTA LAKSAMANA 20 Feb. – Sindiket pelacuran yang menawarkan khidmat seks menerusi aplikasi Wechat di negeri ini tumpas apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Melaka, malam tadi.

Dalam serbuan Ops Gegar di sebuah hotel di Taman Kota Laksamana Jaya itu, seramai empat wanita warga asing, masing-masing seorang warganegara Kyrgyzstan dan Indonesia serta dua warganegara Vietnam berusia 28 hingga 38 tahun telah ditahan Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Melaka dengan kekuatan 12 anggota.

Timbalan Pengarah JIM Melaka K Vishnutharan berkata, hasil risikan yang dijalankan mendapati hotel berkenaan telah menyediakan perkhidmatan tidak bermoral atas talian kepada pelanggan melalui tempahan seawal jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Menurutnya, setiap pelanggan dikenakan bayaran RM200 hingga RM350 bagi tempoh 45 minit bergantung kepada wanita yang ditempah yang dibayar secara tunai sebelum wang tersebut dikutip oleh penjaga setelah selesai tempahan.

“Difahamkan aktiviti tidak bermoral ini menerima antara satu hingga lima tempahan setiap hari bagi setiap wanita warga asing itu yang mana kebanyakan pelanggannya terdiri daripada lelaki warganegara tempatan.

“Ketika serbuan, kami telah merampas beberapa pek kondom, botol gel pelincir, dua naskhah pasport, resit tempahan bilik dan wang tunai berjumlah RM2,000, dipercayai hasil daripada
aktiviti tidak bermoral tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan sebanyak dua saman kepada saksi (Borang 29) kepada seorang lelaki warga tempatan dan pekerja hotel bagi membantu siasatan lanjut.

Selain itu, pihaknya turut menahan kesemua wanita warga asing tersebut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tiada dokumen pengenalan diri.

“Kesemua wanita warga asing tersebut dibawa untuk membuat ujian saringan Covid-19 di Pusat Kesihatan berhampiran terlebih dahulu sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1440
Kongsi :
Previous post Calon SPM sedia hadapi peperiksaan ‘norma baharu’
Next post Calon SPM 2020 cipta sejarah tersendiri
Ubah saiz-+=