
SINDIKET KLON KAD DEBIT TUMPAS, LELAKI WARGA SINGAPURA DIBERKAS
AYER KEROH 28 April – Penahanan seorang lelaki warga Singapura di sebuah kondominium di Tengkera, Rabu lalu membongkar sindiket pengklonan kad debit sebuah bank di Laos yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini.
Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di sebuah kondominium di Tengkera dalam serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri pada jam 1.15 tengah hari.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata siasatan awal mendapati suspek menyewa di kondominium terbabit sejak Januari tahun ini bagi melakukan kegiatan memproses kad debit klon.
Katanya, suspek menerima bekalan kad debit bank terbabit melalui kurier daripada pihak ketiga sebelum meniru data dari kad debit tanpa pengetahuan pemilik asal dan membuat cetakan pada permukaan kad debit kosong baharu menggunakan mesin laser.
“Selepas cetakan dibuat, suspek akan menampal cip dan jalur magnetik pada kad debit tersebut selain menukar jenis kad debit kepada premium atau platinum.
“Suspek kemudiannya menguji kad tersebut menggunakan mesin pembaca kad dan mesin terminal bagi memastikan kad debit tersebut boleh digunakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpuan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan lanjut mendapati aktiviti pengklonan kad tersebut dipercayai adalah untuk pasaran Jepun berdasarkan nama tertera di semua kad debit palsu itu.
“Semua kad yang diklon akan dihantar ke negara jiran menggunakan kurier dan suspek menerima bayaran sebanyak SGD 3,800 (RM12,636.13) sebulan bagi kegiatan itu,” katanya.
Dzulkhairi berkata dalam serbuan itu polis merampas peralatan dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan itu seperti satu set komputer, empat (4) telefon bimbit, mesin pemotong laser,sebuah mesin pengimbas kad debit dan sebuah ‘heat gun blower’.
Katanya, turut dirampas dua keping kad visa debit sebuah bank di Monaco, 227 keping kad visa bank di Laos dan wang tunai Singapura Dollar berjumlah RM11232.86 dan wang tunai berjumlah RM5,500.
“Suspek direman bermula Khamis lalu dan berakhir hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 424A Kanun Keseksaan dan Peraturan 39B Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.