Sindiket judi bola sepak Euro 2020 tumpas
AYER KEROH 14 Julai – Polis Melaka menumpaskan sindiket judi bola sepak Euro 2020 dengan nilai taruhan sehingga RM136,000 hasil penahanan 11 individu setakat semalam.
Kesemua suspek ditahan menerusi serbuan Op Soga VIII oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bermula 10 Jun hingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, suspek berusia antara 19 hingga 69 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Melaka Tengah termasuk di Klebang dan Kota Laksamana serta Jasin.
Menurutnya, nilai wang pertaruhan keseluruhannya RM136,000.
“Dalam beberapa serbuan itu, polis merampas wang tunai RM582, kad kredit pertaruhan bernilai RM40,000 serta peralatan dipercayai digunakan bagi melakukan kegiatan itu termasuk empat komputer, dua komputer riba dan 14 telefon bimbit.
“Turut dirampas 10 jadual perlawanan bola sepak EURO 2020 dan 10 helai kertas catat taruhan judi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil penghargaan kepada Sarjan Mejar Abdul Rani Harun di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata ketika serbuan, semua suspek tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana semua mereka ditemui berseorangan.
Jelasnya, semua suspek direman hingga 17 Julai ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.
“Polis Melaka memandang serius terhadap aktiviti perjudian dan sentiasa komited membanteras kegiatan itu dari semasa ke semasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.