Sindiket jual bayi perlu dipandang serius – Exco
KRUBONG 20 Dis. – Kerajaan negeri memandang serius dalam isu keruntuhan akhlak termasuk sindiket pemerdagangan bayi yang berlaku di negeri ini dengan melakukan pelbagai inisiatif untuk membanteras masalah sosial itu.
Exco Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Kaslom Noordin berkata beliau menempelak tindakan individu yang sanggup melakukan jenayah dengan menjual bayi yang dilahirkan kepada keluarga angkat.
Katanya, perkara itu adalah serius dan perlu diatasi dalam kelompok sesebuah masyarakat.
Justeru itu, beliau berkata pelbagai usaha akan diambil pihaknya dalam masa terdekat ini bagi memelihara dan melindungi peranan wanita terutama buat golongan ibu muda yang akan melahirkan anak.
“Apabila kita dapat tahu ini merupakan perkara yang mengejutkan biarpun kita tahu seperti mana masalah sosial ini bersifat universal di mana ia sentiasa ada tapi kita perlu bertindak dari peringkat yang lebih awal.
“Perubahan zaman yang berlaku membuatkan kita hilang rasa malu dan ini membuatkan banyaknya perkara yang tidak diingini berlaku dalam kelompok masyarakat kita.
“Kita akan mengatur langkah dan memastikan semua golongan wanita, ibu muda dan golongan muda khususnya akan didedahkan dengan pelbagai program bermanfaat seperti seminar dan sebagainya agar mampu memberikan bimbingan kepada mereka.
“Peranan masyarakat adalah perkara yang mustahak untuk sentiasa peka dan menjadi mata dan telinga kerajaan untuk melaporkan sekiranya kejadian seperti ini berlaku di negeri ini,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung penahanan 14 suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan bayi di negeri ini.
Terdahulu, MHI melaporkan, sindiket pemerdagangan bayi dikenali Geng Nana tumpas apabila kesemua 14 ahli termasuk ketuanya dicekup polis dalam beberapa siri tangkapan bulan ini dan polis berjaya menyelamatkan tiga bayi berusia dua hingga tujuh bulan serta seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri berkata, fungsi Sekolah Harapan di negeri ini akan terus diperkasakan bagi melindungi dan membimbing wanita agar terhindar dari masalah sosial.
“Keadaan di Sekolah Harapan buat masa ini kepadatan penghuninya agak ketara kerana ia bukan sahaja dihuni wanita negeri ini malah dari serata negara.
“Dengan keadaan sekarang yang dilihat berleluasa jika ia tidak terkawal perkara ini mudah berlaku dan jika dibina rumah seperti ini ia seolah macam menggalakkan, kalau boleh kita cuba sekat.
“Namun jika terlalu ramai memerlukan pusat perlindungan ini, kita terpaksa bina dan kerajaan negeri akan cari jalan lain agar memastikan mereka yang terkesan ini dilindungi dari perkara yang tidak baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.