Sindiket edar dadah di Felda sekitar Kuantan tumpas

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KUANTAN, 28 Mac – Polis Pahang menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi empat lelaki warga tempatan termasuk dua adik-beradik, dipercayai aktif di kawasan Felda sekitar Kuantan sejak setahun lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 32 hingga 42 tahun itu, telah ditahan dalam empat serbuan berbeza Khamis lepas.

Katanya, pihak polis menemukan 3.5 kilogram (kg) dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM76,164 serta turut merampas wang tunai berjumlah RM91,250, selain barang kemas, tiga buah kereta, lapan motosikal dan 19 utas jam tangan pelbagai jenama.

“Suspek pertama ditahan di sebuah rumah di Taman Sri Mahkota Maju di sini pada 5 petang yang membawa kepada serbuan seterusnya di tempat letak kereta Plaza Tol Gambang dan di tepi jalan perhentian bas Simpang Lepar Hilir pada sebelah malam hari sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Suspek ketiga yang ditahan berhampiran plaza tol itu dipercayai pembekal yang membawa dadah tersebut dari Lembah Klang dan menyerahkannya kepada suspek lain di sini untuk dijual.

Ramli berkata ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada mereka positif dadah, manakala tiga daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Kesemua mereka kini direman sehingga Jumaat ini (1 April) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

874
Kongsi :
Previous post Peniaga ‘ali baba’ bakal hilang lesen bazar Ramadan
Next post Kenderaan, khemah peniaga rosak akibat angin kuat di Ipoh
Ubah saiz-+=