Sorting by

×

Sinar ‘cahaya’ bantu asnaf jana pendapatan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KESIDANG 28 Jun – Rata-rata asnaf yang menyertai Program Perintis Usahawan Aspirasi Milagro melahirkan rasa teruja untuk memulakan perniagaan dalam bidang pertanian organik.

Program peluang dan bimbingan untuk memulakan perniagaan itu bakal melibatkan 41 peserta asnaf yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Menurut seorang peserta, Adam Talib 53, dia yang meminati bidang pertanian tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai program tersebut bagi menjana pendapatan, sekali gus memberi kehidupan lebih selesa kepada keluarganya.

“Minat saya terhadap pertanian ini telah lama wujud, saya telah mengusahakan tanah terbiar milik MAIM sejak sembilan tahun lalu untuk bercucuk tanam sebagai sumber pendapatan kerana tidak bekerja.

“Jadi apabila pihak MAIM maklum mengenai program ini, saya berminat untuk sertai kerana mahu menambah rezeki keluarga sehingga satu masa saya mampu membayar zakat dan beri kehidupan selesa kepada keluarga,” kata bapa empat anak yang kini tinggal di rumah milik MAIM di Durian Tunggal.

Nada sama disuarakan seorang suri rumah sepenuh masa, Muminah Jukadal, 52, yang menyifatkan program terbabit membuka ruang dan peluang kepadanya menjana pendapatan dari rumah.

“Sebagai ibu kepada lima orang anak, masa saya terhad kerana perlu menguruskan anak, namun minat terhadap pertanian organik ini telah bermula sejak beberapa tahun lalu.

“Dengan menggunakan produk daripada penaja program, saya dapati tanaman organik yang ditanam dalam pasu dalam laman rumah semuanya berhasil.

“Seperti tanaman cili, tomato ceri, limau nipis, limau kasturi dan pelbagai lagi tanaman termasuk pokok hiasan,” ujarnya yang baharu berjinak-jinak menjual hasil tanamannya secara dalam talian.

Dalam pada itu, peserta mualaf, Abdul Rahim Ynketeshery, 39, pula berharap program terbabit dapat membantunya meraih pendapatan sampingan, selain daripada kerja sambilan yang dilakukannya di sebuah kilang.

“Saya melihat peluang yang tersedia ini untuk menambah pendapatan. Saya percaya dengan kit alatan dan baja yang diberi sebagai persiapan untuk meniaga ini dapat membantu saya dan asnaf lain untuk memulakan perniagaan dan keluar daripada masalah kewangan.

“Saya harap program MAIM dengan usahasama syarikat swasta ini perlu diperluaskan lagi untuk lebih ramai asnaf atau golongan kurang mampu dapat menyertai dan mengambil manfaat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1759
Kongsi :
Previous post Persimpangan Stadium Hang Jebat ditutup mulai 3 Julai
Next post Sasar jualan murah sebulan sekali di Gadek
Ubah saiz-+=