Sinar baharu buat pemohon PPR Klebang
KLEBANG 29 Mac – “Semoga impian saya dan keluarga untuk duduki rumah sendiri akan tercapai selepas sekian lama menunggu.
“Apabila kerajaan negeri hari ini memberi jaminan, rumah ini akan siap pertengahan tahun hadapan jadi sedikit sebanyak lega rasanya,” kata Nur Azwani Lasim, 30.
Nur Azwani, antara pemohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) Klebang, yang terpaksa menunggu sejak empat tahun lalu apabila projek yang sepatutnya siap pada 2018 tertangguh.
Menurut peniaga nasi lemak itu, dia amat menantikan rumah itu kerana dengan kadar sewaan yang tinggi pada masa ini menyebabkan dia dan suami tidak mampu untuk menyewa rumah.
“Setiap hari apabila lalu kawasan ini sayu hati melihat tiada perkembangan sedangkan kami amat berharap dapat memiliki dan duduki rumah sendiri untuk keselesaan anak-anak,” katanya.
Bagi seorang lagi pemohon, Zulkifli Mohamed, 51, berkata, dengan lantikan kontraktor baharu yang dimaklumkan kerajaan negeri ia akan membawa sinar buat dirinya.
“Harapan saya untuk rumah ini amat tinggi kerana ia rumah pertama sebab itu apabila tertangguh sekian lama agak terkilan.
“Kini saya dan keluarga tinggal di rumah pusaka, dengan keadaan ekonomi sekarang hendak menyewapun tidak mampu,” katanya.
Terdahulu, EXCO Perumahan negeri, Datuk Zaidi Attan ketika melawat tapak projek terbengkalai itu berkata PPR itu dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan apabila Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melantik kontraktor baharu bagi meneruskan pembinaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.