Sorting by

×

Sinar baharu buat lapan sekeluarga tinggal di teratak usang menanti rebah

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

PAYA RUMPUT 24 Nov – “Setiap kali hujan, ribut, kami adik beradik risau dan bimbang tiang rumah rebah (roboh).”

Demikian luahan Ain Zulhana, 25 yang menetap di Jalan Siapong, Kampung Krubong, di sini ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Ain yang juga anak bongsu dari tiga beradik berkata, teratak usang itulah menjadi tempat berteduh buatnya bersama abang, kakak, abang ipar, serta empat lagi anak buahnya.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu hanya sebahagian dari rumah itu sahaja menjadi tempat berteduh buat mereka berlapan, manakala sebahagian lagi sudah reput keseluruhan di makan anai-anai.

“Sebahagian rumah ini tempat kami berteduh, tidak selesa seperti rumah orang kebiasaan, hujan pasti naik air, air masuk ikut atap yang bocor.

“Rumah ini hanya dua bilik sahaja yang masih elok, selebihnya sudah reput dimakan anai-anai, kami bukan orang senang tapi apa yang ada di sinilah kami lahir, kami berteduh, ini rumah pusaka arwah ibu dan ayah kami,” katanya.

Tinjauan MHI di rumah uzur tersebut turut mendapati, hampir 75 peratus keadaan rumah itu kelihatan sangat daif, bumbung berlubang, dinding rumah yang runtuh hanya ditutupi dengan kanvas dan zink.

RAIS (kiri) ketika bertanyakan keadaan rumah yang didiami lapan sekeluarga di Jalan Siapong, Kampung Krubong.

Lebih menyayat hati, Ain turut berkongsi perasaan apabila setiap kali hujan ribut, dia bersama adik beradiknya pasti bimbang tiang rumah yang berusia lebih 40 tahun itu akan runtuh.

“Kalau dilihat dari luar, keadaan rumah ini sangat uzur, saya yang bekerja mengasuh anak orang, kakak yang hanya bekerja kilang dan abang bekerja sebagai buruh kampung, kami memang berniat nak membaik pulih rumah pusaka ini, tapi kurang berkemampuan.

“Ikutkan, kalau tiap kali musim hujan, ribut memang terdetik, bila-bila masa sahaja rumah ini akan runtuh,” ujarnya sebak.

Dalam pada itu, kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin seakan memberi sinar baharu kepada mereka.

Rais yang baharu sahaja diberi mandat sebagai wakil rakyat kawasan itu memberi jaminan pihaknya akan membantu seberapa segera untuk membaiki struktur rumah terbabit.

“Saya memberi jaminan, akan membaik pulih rumah yang usang ini dengan kadar segera dengan kerjasama dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi tempoh secepat mungkin.

“Apatah lagi menyedihkan, mereka tinggal di rumah yang hampir rebah ini bersama anak-anak kecil. Melihat keadaan rumah ini sahaja membuatkan saya bersimpati terhadap nasib keluarga yang tinggal di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

816
Kongsi :
Previous post Ekonomi Melaka perlu lonjakan baharu – mantan MB NS
Next post MB, KM setuju pinda undang-undang negeri benarkan individu 18 tahun jadi calon pilihan raya
Ubah saiz-+=