Simulator F1 jadi tumpuan pengunjung siri jelajah Petronas
BANDA HILIR 22 Jan- Replika kereta lumba Formula satu (F1) dan peluang memandu simulator paling menarik perhatian pengunjung singgah ke Siri Jelajah Petronas Motosports di pusat beli-belah Mahkota Parade, di sini, hari ini.
Jumlah pengunjung yang singgah ke siri jelajah itu juga amat menggalkkan khusus dalam kalangan peminat sukan permotoran F1.
Bagi pengunjung Uzair Abu Hanifah, cuaca panas tidak menghalangnya daripada menunggu giliran untuk mencuba simulator kereta lumba F1.
“Meskipun memandu simulator tapi saya dan rakan-rakan berasa seperti berada di litar lumba sebenar.
“Siri jelajah seperti ini memberikan pelbagai pendedahan mengenai teknologi terkini sukan permotoran kepada kami,” katanya.
Seorang lagi pengunjung Muhammad Hafriz Zulkhaini berkata, dia mengetahui mengenai siri jelajah itu selepas terbaca hebahan yang tular di media sosial.
Katanya, pengunjung juga berpeluang membeli barangan jenama terkenal itu pada harga yang amat berpatutan.
“Memang seronok kerana dapat ambil banyak gambar menarik dan tiada bayaran masuk dikenakan.
“Saya bersama keluarga dari Kuala Lumpur, jadi berbaloi untuk kami habiskan masa bercuti di Melaka,” katanya.
Terdahulu, Siri Jelajah Petronas Motorsports di Melaka selama dua hari berakhir esok dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.