Sorting by

×

Simptom serangan jantung pada wanita ‘lemah’, sukar dikesan – Pakar

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

ALOR SETAR, 27 Mei  — Serangan jantung yang terjadi akibat gangguan aliran darah ke jantung boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan cepat dan tepat.

Tidak seperti golongan lelaki, tanda serangan jantung pada wanita adalah lebih ‘lemah’ dan sukar dikesan sehingga kadangkala apabila dikesan ia sudah berada pada tahap serius serta sukar dirawat kerana berlaku ‘kerosakan’ pada jantung.

Pakar Jantung Kedah Medical Centre (KMC) Dr Abd Rahim Tahir berkata walaupun kes serangan jantung sering didengar melibatkan golongan lelaki, wanita juga sebenarnya berisiko terutama bagi penghidap darah tinggi atau diabetes kronik.

“Sakit jantung terhadap lelaki dan wanita sama saja dari segi keterukan, keseriusan dan cara rawatan tapi yang jadi masalah, wanita ‘tertinggal’ di belakang kerana tandanya tidak nyata seperti lelaki, akibatnya wanita tidak dapat rawatan yang sempurna dari awal.

“Sesetengah pakar kata risiko (serangan jantung) pada wanita juga biasanya datang lewat sikit, sebab semasa dalam kitaran haid, hormon itu boleh bantu kurangkan masalah jantung,” katanya kepada Bernama di sini.

Dr Abd Rahim berkata tidak seperti lelaki, tanda serangan jantung pada golongan itu lebih jelas seperti sakit dada yang serius, berbanding wanita yang kadang kala hanya berasa letih, berpeluh, berdebar-debar atau berasa kurang selesa pada dada.

“Macam letih, ia ada banyak sebab, contohnya demam atau hypoglycemia yang biasa dialami pesakit kencing manis. Letih yang dimaksudkan adalah letih luar biasa atau jika berpeluh, ia juga luar biasa, misalnya sebelum ni buat kerja dua tiga jam baru berpeluh, ini bergerak sikit dah basah peluh.

“Saya ada ramai pesakit wanita yang ada tanda macam tu dan bila buat pemeriksaan terperinci, didapati pesakit sebenarnya mempunyai masalah jantung. Kadang-kadang buat elektrokardiogram (ECG) tak nampak, tapi bila buat ujian stress baru nampak dia sakit,” katanya.

Beliau berkata gejala atau simptom serangan jantung yang tidak jelas itu juga sering dialami golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas atau penghidap kencing manis kronik.

“Pesakit kencing manis ni saraf mereka bermasalah… deria rasa mereka tak kuat, tak rasa sakit, deria rasa ada pada jantung juga, jadi tanda serangan jantung pada mereka tidak nyata,” katanya.

Dr Abd Rahim berkata tindakan terhadap pesakit yang lambat mendapatkan rawatan akan menjadi lebih kompleks dan berkemungkinan mereka tidak dapat sihat sepenuhnya kerana jantung mereka sudah ‘tercedera’.

Oleh itu katanya, wanita perlu lebih peka dengan perubahan pada diri dan perlu tahu mengukur tahap kesihatan mereka sendiri bagi mengesan simptom-simptom yang tidak jelas itu.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mengamalkan gaya pemakanan yang sihat seperti yang disarankan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan seperti banyak makan sayur atau ulam dan ambil makanan kurang minyak dan garam.

“Selain itu orang selalu sebut Q10 bagus, sama ada dalam bentuk vitamin atau kapsul dan dalam sesetengah minyak ada banyak Q10 contohnya minyak zaitun.

“Q10 adalah satu enzim kita guna dalam badan untuk kurangkan kadar penukaran lemak tak tepu kepada tepu. Jika kadar lemak tepu rendah, kemungkinan berlaku penyempitan saluran darah lebih rendah sekali gus dapat mengurangkan risiko serangan jantung,” katanya.

— BERNAMA

Views:

768
Kongsi :
Previous post MEDAC peruntuk RM452.8 juta bantu usahawan melalui pelan pemulihan
Next post ‘Geomatik Gunaan’ bantu negara menghadapi krisis COVID-19?
Ubah saiz-+=