Simposium kedua Hang Tuah dijangka September ini

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 27 Jun – Simposium kedua tentang Hikayat Hang Tuah bakal diadakan pada September ini yang bakal menghimpunkan enam pengkaji sejarah dari luar negara.

Ketua Penyelidik Kajian Hang Tuah merangkap Naib Canselor Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora berkata, ia bagi mengukuhkan lagi kajian tentang kewujudan Hang Tuah.

“September ini kita akan himpunkan enam pengkaji sejarah setiap negara yang ada kaitan dengan Hang Tuah seperti United Kingdom (UK), Belanda, Portugal, Istanbul, China dan India.

“Kita mahu memantapkan lagi kajian kita bahawa Hang Tuah wujud dan beliau adalah satu ikon yang hebat.

“Hang Tuah adalah seorang ikon yang kita mahu jadikan sebagai adiwira atau hero kepada orang Melayu dan masyarakat Malaysia secara umumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Penyelidikan Hang Tuah mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Institut Tun Perak (ITP), Hazzlan Sama; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Mohd Ghazali Ahmad; Pengarah Institut Kajian Tuah (IKAT) UNIMEL, Prof Dr. Mohd Samsudin dan lain-lain jemputan.

Mengulas lanjut, beliau turut berhasrat untuk membawa Pameran Hang Tuah ke Bentan, Indonesia selepas ini.

“Kita juga akan mengadakan perbincangan bersama pihak Bentan, Indonesia untuk membawa pameran ini ke sana selepas ini.

“Saya berhasrat ketokohan Hang Tuah ini bukan hanya di Malaysia, tetapi di peringkat dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umum Saudagar Rumpun Melayu (SRM) Kepulauan Riau, Rida K Liamsi berharap simposium dan hasil kajian serta perbincangan dilakukan sempena pameran itu akan dapat menghentikan perdebatan mengenai kewujudan Hang Tuah.

“Apa yang penting generasi muda dapat mewarisi perkara yang betul mengenai Hang Tuah dan sejarahnya di nusantara” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

112
Kongsi :
Previous post Enam wanita direman empat hari kemuka tuntutan palsu lebih RM13,000
Next post Pakaian diperkenalkan tidak digunakan untuk perbarisan Olimpik – Hannah
Ubah saiz-+=