Simposium beri pendedahan kerjaya logistik
JASIN 6 Oktober – Hampir 600 pelajar pelbagai institut pengajian tinggi (IPT) menyertai ‘Symposium of Logistic And Transportation 2023 (SyLAT’23) bagi diberi pendedahan mengenai bidang logistik dan pengangkutan.
Simposium yang diadakan di Kolej Komuniti Jasin itu melibatkan IPT lain termasuk Kolej Komuniti Sepang, Kolej Komuniti Rantau Panjang, Politeknik Metro Johor Baharu dan Politeknik Nilai.
Selain itu, simposium itu turut menarik penyertaan pelajar Universiti Teknologi Marah (UiTM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta pelajar sekolah.
Seramai 458 peserta menyertai simpsium berkenaan secara atas talian manakala 120 lagi terlibat secara bersemuka.
Timbalan Pengarah program berkenaan, Mohd Azuan Ali berkata, program yang turut membabitkan barisan profesional itu yang berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang berkenaan.
Katanya, ia sekali gus membuka peluang kepada peserta untuk mengenali potensi yang boleh dipelopori dalam bidang itu selepas tamat pengajian.
“Simposium ini secara tidak langsung memastikan para pelajar yang mengikuti bidang ini memahami peluang kerjaya yang boleh mereka ceburi selepas tamat pengajian.
“Mereka juga berpeluang mendengar dengan lebih jelas maklumat-maklumat yang akan disampaikan oleh pihak industri yang berkaitan dengan bidang logistik dan pengangkutan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.