Simbah petrol, bakar rakan hidup-hidup

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

LENDU 11 Mac. – Akibat perselisihan faham seorang lelaki tergamak menyimbah petrol dan membakar rakan sendiri di sebuah rumah di Kampung Lendu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa berusia 23 tahun itu melecur di leher dan beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian suspek berusia 29 tahun dan mangsa dipercayai berada dalam pengaruh dadah kerana menghisap syabu.

Katanya, mangsa seorang penganggur yang berhutang dengan suspek diarahkan untuk menjelaskan hutang itu di sebuah rumah dan apabila sampai, mereka duduk berborak dan menghisap dadah.

“Berlaku perselisihan faham antara mereka apabila suspek menuduh mangsa mencuri telefon bimbit kekasihnya.

“Suspek secara tiba-tiba menyimbah minyak petrol yang diambil dari tangki mesin gergaji berantai ke arah mangsa, lantas menyalakan pemetik api dan membaling ke badan mangsa.

“Suspek kemudiannya mengurung mangsa di dalam bilik itu, namun mangsa berjaya menyelamatkan diri dan bergegas ke bilik air yang terdapat di bilik sama bagi memadamkan kebakaran itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arshad berkata, pihaknya kini sedang mengesan suspek manakala mangsa sudah mendapat rawatan di Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk kepada pakar bedah plastik di Hospital Melaka bagi rawatan selanjutnya.

Katanya, polis turut merampas berapa barangan termasuk gergaji berantai jenama STIHL MS180, beg sandang berwarna hijau, telefon bimbit, cota kayu hitam dan wang tunai RM50.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

652
Kongsi :
Previous post Bas percuma Panorama diperluas seluruh negeri
Next post ABC-19 penghubung komuniti cegah wabak COVID-19
Ubah saiz-+=