Siling runtuh: Parkir kereta di padang Dataran Pahlawan diarah tutup

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 15 Disember – Kerajaan Negeri akan menjalankan siasatan forensik di sekitar tapak bazar kraftangan Dataran Pahlawan bagi mengetahui punca sebenar kejadian siling runtuh, 11 Disember lalu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata, hasil lawatannya ke tapak kejadian itu semalam mendapati terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya runtuhan.

Katanya, antara yang dikenal pasti ialah kawasan atas tapak bazar itu dijadikan sebagai parkir kereta, selain ia turut dijadikan tempat memunggah barang.

“Reka bentuk kawasan ini sebenarnya tidak sesuai untuk dijadikan parkir kereta di sebelah atas. Ini dari segi teknikal.

“Disebabkan itu, berlaku retakan di atas padang yang menyebabkan bebanan berlaku dan seterusnya terhasil timpokan air yang meresap di batu dan akhirnya jatuh ke plaster siling dan itu menyebabkan siling itu runtuh.

“Oleh sebab itu, saya telah mengarahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk menghalang bahagian atas dijadikan tempat parkir kereta, selain sebarang kerja-kerja pemunggahan barang di situ juga dihentikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi MPHTJ 2022 Bersempena Sambutan Hari Perbandaran Hang Tuah Jaya ke-13 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

photo1671096418
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi MPHTJ 2022 Bersempena Sambutan Hari Perbandaran Hang Tuah Jaya ke-13 di Hotel MITC Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Zaidi memaklumkan, pihaknya juga tidak bercadang untuk memindahkan peniaga di kawasan itu ke lokasi lain buat masa ini.

Katanya, ia berikutan dari segi teknikal, kejadian yang berlaku baru-baru ini tidak melibatkan keseluruhan 136 unit gerai perniagaan.

Sebaliknya ia hanya membabitkan sekitar 20 unit sahaja yang bermasalah di bahagian hadapan.

“Jadi, apa yang kita lakukan mendapatkan dokumen pembaikan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan hasil dapatan itu nakan kita lakukan pembetulan struktur dengan kadar segera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2890
Kongsi :
Previous post Pasangan kekasih mengaku tidak bersalah dedah kanak-kanak kepada bahaya
Next post Wujudkan akta khusus Airbnb, jaminan buat pelancong
Ubah saiz-+=