Sorting by

×

Silibus pembelajaran tidak boleh ditukar secara kerap – Radzi

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

SHAH ALAM, 18 Okt – Silibus pembelajaran yang dibangunkan Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai kitaran dan tidak boleh diubah sesuka hati setiap tahun, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Md Jidin.

Beliau berkata penghasilan sesuatu silibus juga memerlukan proses kajian mendalam yang melibatkan banyak pakar dan guru berpengalaman serta berkebolehan.

“Ini bukan silibus Radzi Jidin. Saya ingin jelaskan silibus yang digunakan hari ini bermula pada 2017 dan untuk bina silibus itu, telah ada perbincangan sebelum itu lagi.

“Jika silibus ditukar secara kerap, cikgu-cikgu serta murid-murid akan menghadapi kesukaran nak sesuaikan diri dengan silibus baharu. Jadi apa yang berlaku selama ini (silibus), apabila selesai satu pusingan maka penilaian akan dibuat untuk melihat keberkesanan silibus tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Reading Progress di sini hari ini.

Radzi berkata demikian mengulas soalan pemberita mengenai isu silibus Matematik yang dibangkitkan seorang guru Matematik Mohd Fadli Mohamed Salleh di media sosial yang dikatakan terlalu tinggi dan tidak selaras dengan kemampuan murid untuk memahami dan menguasainya.

Beliau berkata jika seseorang murid masuk Tahun Satu dengan silibus tersebut, mereka akan habiskan Tahun 6 dengan pendekatan silibus sama.

Menurut Radzi, KPM tidak pernah menutup ruang kepada guru untuk memberikan sebarang pandangan malah beliau sendiri turun padang bertemu guru bagi menyelesaikan sesuatu isu termasuk isu beg berat dalam kalangan murid.

“Banyak transformasi kita buat di kementerian (KPM) hasil berbincang dan dapat maklum balas daripada guru dan pihak yang terlibat. Untuk kata kita (KPM) tidak mendengar pandangan daripada guru, saya rasa itu tidak tepat,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan berlaku penyelewengan di kementeriannya, beliau berkata pihaknya terbuka mengenainya dan Ketua Setiausaha KPM Datuk Yusran Shah Mohd Yusof telah mengambil tindakan seperti arahannya supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami terbuka, tidak ada apa yang saya nak khuatirkan sebab itu KSU telah mengambil tindakan seperti yang diarahkan sebab kita nak pastikan imej KPM baik. Mesej kita setiap sen duit rakyat mesti dikembalikan kepada rakyat sangat mudah.

“Saya berada di sini, menjalankan khidmat negara. Saya tidak ada tujuan lain, ada tuduhan SPRM pergilah siasat apa yang ada di sana (KPM),” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1886
Kongsi :
Previous post MetMalaysia keluarkan nasihat Taufan Nesat
Next post MPHTJ mampu capai PBT lestari pertama di Melaka – Exco
Ubah saiz-+=