Sijil halal keutamaan Hotel Ames
AYER KEROH 6 April – Meskipun berdepan sedikit kesukaran namun pengurusan Hotel Ames komited mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi memastikan pelanggan tidak ragu untuk menjamu selera di hotel itu.
Penolong Pengurus Besar Hotel Ames, Nurashiken Zainal Abidin berkata, perkara itu perlu menjadi keutamaan kepada semua pengusaha hotel di negeri ini.
Katanya, perkara utama yang dilakukan oleh hotel berkenaan adalah memohon untuk mendapatkan pensijilan terbabit dan apabila mula beroperasi, ia dilengkapi SPHM.
“Ames Hotel (Hotel Ames) memang ada eksekutif sijil halal sejak dibuka pada tahun 2019…bila buka je hotel kita usahakan perkara ini yang pertama perlu dilaksanakan.
“Tiada sebarang isu timbul, (meskipun) nak dapatkan sijil halal ni agak susah sedikit sebab dia dibawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), jadi orang tak boleh ambil sambil lewa.
“Semua perkara kena mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang teliti (dan) untuk dapatkan sijil ini memang tiada kelonggaran termasuklah faktor kebersihan juga dikira, katanya ketika dihubungi MHI.
Mengulas lanjut, Nurashiken berkata, pihaknya mengikut syarat ditetapkan MAIM untuk mendapatkan sijil berkenaan kerana perkara itu amat penting memandangkan kerajaan amat mengutamakan SOP di hotel, bukan sahaja di bazar Ramadan.
Katanya pengusaha hotel sepatutnya lebih peka terhadap isu sijil halal tersebut bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
“Sepatutnya setiap pengusaha hotel itu dah tahu bila nk buka hotel kena ade sijil halal…ambil orang yang berpengalaman, jika kita bagi kelonggaran ia akan menjadi ‘bad habit’ (tabiat buruk).
“Saya nasihatkan semua pengusaha ikut arahan, kita tidak mahu orang ragu-ragu, orang boleh buat pilihan lepas ini sama ada nak pergi hotel yang ada sijil halal atau tidak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.