Sorting by

×

Sidang Parlimen ditangguhkan dua minggu – KKM

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan semua sesi mesyuarat, ditangguhkan selama dua minggu bermula 29 Julai lalu susulan pengesanan kes COVID-19 dan kebimbangan risiko penularan jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia hasil penilaian risiko dilakukan dan mengambil kira faktor epidemiologi serta persekitaran yang mendapati sidang Parlimen adalah perhimpunan berisiko tinggi bagi penularan COVID-19.

“Penangguhan itu meliputi pembentangan yang dirancang di Parlimen atau yang membabitkan individu berada di bangunan berkenaan pada 26 hingga 29 Julai lalu.

“Penilaian risiko jangkitan COVID-19 di Parlimen akan dinilai semula dari semasa ke semasa.

“Semua individu yang berada di Parlimen pada 26 hingga 29 Julai lalu dinasihatkan memantau status kesihatan secara kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya jika individu terbabit mengalami gejala, mereka perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran tempat tinggal.

Dr Noor Hisham berkata, faktor persekitaran Parlimen termasuk keadaan dewan Parlimen yang bertutup meningkatkan risiko penularan jangkitan memandangkan virus SARS-CoV-2 tersebar atau menular melalui udara dan boleh kekal dalam persekitaran selama beberapa jam.

Beliau berkata, tempoh berada dalam dewan dan sekitar Parlimen yang panjang memberi risiko pendedahan berulang selain perkongsian kemudahan asas seperti tandas, surau dan kafe oleh ramai individu termasuk kes.

“Faktor lain ialah penjarakan fizikal dalam dewan kurang satu meter antara satu sama lain walaupun terdapat penghadang meja dan perkumpulan kecil kerap berlaku di dalam dan di luar dewan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post 99 kes positif COVID-19 babitkan pekerja kilang
Next post PM ucap syabas kepada Dhabitah atas aksi mengagumkan
Ubah saiz-+=