Sorting by

×

SIDANG DUN MELAKA TAMBAH BAIK SYARAT UNTUK PEMERHATI

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 28 April – Pemerhati yang mahu hadir ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dikehendaki mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Speaker DUN Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum berkata, pihaknya telah menambah baik beberapa syarat khusus untuk pemerhati yang hadir.

Jelas beliau, antara syarat baharu yang ditetapkan adalah setiap pemerhati dikehendaki mengemuka surat permohonan terlebih dahulu sama ada secara bertulis atau menerusi aplikasi Whatsapp dan setiap pemohon akan ditapis sebelum dibenarkan menghadiri persidangan.

“Nama-nama pemerhati yang memohon akan dikemukakan kepada pihak polis untuk dibuat semakan dan hanya yang mempunyai rekod bersih dan tiada rekod jenayah sahaja dibenarkan hadir.

“Selain itu, setiap pemerhati yang dibenar hadir akan diberikan kad pemerhati berserta ‘lanyard’ untuk dipakai pemerhati, selain mereka juga tidak dibenar membawa telefon bimbit dan alat perakam video sepanjang persidangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum memulakan hari kedua Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Menurut Speaker DUN, agenda pada hari kedua persidangan dimulakan dengan pembentangan risalat dewan, diikuti soalan-soalan lisan dan diakhiri dengan usul terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Beliau memaklumkan, seramai 17 ahli Yang Berhormat telah dipilih bagi perbahasan usul tersebut dan diberi tempoh masa 7 minit setiap seorang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

410
Kongsi :
Previous post TANAH ADAT MELAKA TIDAK DIPINDAH MILIK
Next post LAPAN AGENSI TAWAR SKIM BANTUAN PERKASA OKU DALAM KEUSAHAWANAN