
Sidang DUN Melaka penggal ketiga buka tirai secara rasmi
SERI NEGERI 5 Mac – Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas dibuka tirai secara rasmi di Seri Negeri, hari ini.
Persidangan itu dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Terdahulu Tun Dr. Mohd Ali bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman tiba di perkarangan Dataran Seri Negeri pada jam 9.48 pagi.
Ketibaan Tun Dr. Mohd Ali disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.
Alunan lagu Negaraku dan Melakaku Maju Jaya dipersembahkan oleh Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sewaktu ketibaan Tun Dr. Mohd Ali.
Beliau kemudiannya berarak masuk ke Dewan Undangan Negeri bagi menyampaikan ucapan pembukaan persidangan.
Sidang DUN kali ini berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Mac (Khamis) dan sebanyak 104 soalan lisan serta 108 soalan bertulis akan dikemukakan bagi persidangan kali ini.
Terdapat satu usul akan dibentangkan pada persidangan kali ini iaitu ucapan terima kasih kepada Tun Mohd Ali pada hari kedua persidangan (6 Mac).

Foto Iqmal Haqim Rosman
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.