Sorting by

×

SIDANG DUN MELAKA MENGENANG ALLAHYARHAM TUN ABDULLAH

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SERI NEGERI 25 April – Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr.Mohd Ali Mohd Rustam, mengenang jasa Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi termasuk yang melibatkan aspek pembangunan Negeri Melaka.

Menurut beliau, Tun Abdullah dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat, tenang dalam pendekatannya dan sentiasa meletakkan kepentingan negara serta kesejahteraan sebagai keutamaan.

Katanya, di Melaka, Allahyarham Tun Abdullah telah menyelesaikan isu-isu banjir menerusi pelaksanaan projek naik taraf sistem saliran Melaka Bandaraya Bersejarah Fasa 2.

“Isu banjir kilat yang berjaya diselesaikan meliputi kawasan sempadan kampung Duyong ke Bukit Katil; Kampung Durian Daun ke Sungai Melaka dan Kampung Chetty ke Tengkera dengan peruntukan sebanyak RM80.96 juta.

“Tun Abdullah turut meluluskan sebanyak RM90.4 juta bagi pelaksanaan Projek Pengindahan dan Pembersihan Sungai Melaka Fasa 1, Fasa 4 dari Jambatan Hang Tuah ke Jambatan Hang Jebat dan naik taraf serta pemanjangan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam bernilai RM188.2 juta.

“Melaka turut mengambil slogan ikonik Allahyarham Tun Abdullah iaitu ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’ menamakan sebuah bangunan dengan nama Kota Cemerlang di Ayer Keroh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.

Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.

Tun Dr.Mohd Ali turut mengimbau memori bersama Allahyarham Tun Abdullah yang mana setiap kali selesai urusan di Melaka, Allahyarham pasti akan singgah di gerai-gerai menjual barangan kraftangan sekitar Alor Gajah menuju ke Simpang Ampat.

Jelasnya, Tun Abdullah mempunyai minat yang mendalam terhadap hasil kraftangan dan batik.

“Allahyarham Tun Abdullah, sempat melawat Melaka ketika bercuti bersama isteri, Tun Jeanne Abdullah serta turut hadir ke Istana Melaka bersama keluarga.

“Saya juga berkesempatan bersama Allahyarham Tun Abdullah dan isteri menikmati cendol Kampung Hulu di tepi Sungai Melaka pada tanggal 10 Disember tahun lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

258
Kongsi :
Previous post MELAKA TERUS JADI TUMPUAN PENGANJURAN ACARA BERTARAF KEBANGSAAN
Next post USAHAWAN MELAKA PERLU MANFAAT PLATFORM DIGITAL