Sidang DUN Melaka matang, beradab

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 2 Ogos – Persidangan Kedua, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas yang berlangsung selama tiga hari bermula Isnin menunjukkan kematangan ahli politik di bawah Kerajaan Perpaduan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika mengulas mengenai perjalanan keseluruhan sidang itu mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah menyampaikan tanggungjawab berbahas demi kepentingan rakyat.

Katanya, sepanjang tiga hari, tiada isu-isu hangat dipamerkan dalam perbahasan itu dan kesemuanya tampak kemas, teratur serta beradab.

“Ini sekali gus menyaksikan pentas Sidang DUN Melaka tidak lagi mencuri perhatian seperti sebelum ini.

“Kita dapat melihat bahawa Negeri Melaka pada era ini berubah kepada satu platform yang menunjukkan kematangan ahli-ahli politik di bawah Kerajaan Negeri yang disokong Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan gulung penangguhan sempena Persidangan Kedua, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf pada ucapan gulung penangguhannya turut menyentuh tentang pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Melaka yang mendahului era politik baharu dengan menggabungkan wakil rakyat daripada pelbagai parti.

Kata beliau, gabungan itu mencerminkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil serta membawa mandat yang kuat untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Berlandaskan semangat perpaduan, saya dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri akan bersama-sama untuk terus bekerja membangunkan Negeri Melaka serta membawa rakyat dan negeri ini ke aras yang lebih tinggi, maju, makmur dan lebih sejahtera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

815
Kongsi :
Previous post Peruntuk lebih RM15 juta baiki masjid, surau
Next post Projek 1 Kampung, 1 Pantun warnai TMM2024
Ubah saiz-+=