Sorting by

×

Sidang DUN kedua penggal ketiga bermula hari ini

Masa Membaca:57 Saat

SERI NEGERI 9 Julai – Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Seri Negeri hari ini bermula tepat jam 9.30 pagi.

Persidangan pada awalnya disaksikan dengan ketibaan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh disusuli Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri.

Persidangan dimulakan dengan bacaan doa oleh Speaker DUN, Datuk Wira Ibrahim Durum sebelum pertanyaan soalan-soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terlibat.

Agenda tersebut kemudiannya diikuti pembentangan risalat-risalat di atas meja mesyuarat dibacakan oleh Speaker DUN.

Difahamkan persidangan selama tiga hari ini akan membawa sebanyak 193 soalan secara keseluruhan.

Soalan itu merangkumi 103 soalan lisan dan 90 soalan bertulis yang akan dibentangkan bermula hari ini.

Terdapat dua usul akan dibentangkan dan dibahaskan iaitu Kumpulan Wang Amanah Hartanah Bumiputera dan Wang Amanah Pembangunan Masyarakat Daripada Musaadah.

Persidangan kali ini menyaksikan seramai tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerajaan Negeri yang tidak hadir iaitu Datuk Rahmad Mariman (BN-Ayer Molek) dan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) yang mengerjakan ibadah haji, manakala Ngwe Hee Sem (BN-Machap Jaya) sedang cuti sakit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

282
Kongsi :
Previous post Wanita jatuh gaung selamat dibawa keluar
Next post Mohon semula pembangunan kawasan tambakan laut di bawah UNESCO
Ubah saiz-+=