Siber Forensik: Menjejak penjenayah siber

Masa Membaca:4 Minit, 21 Saat

Oleh Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib

Ketua Pusat Kompetensi Keselamatan Siber, FTMK, UTeM

SAMA ada kita sedar atau tidak, keselamatan kita, keluarga kita, organisasi tempat kita bekerja, negeri hatta negara kita sentiasa dalam ancaman serangan siber dalam pelbagai bentuk tanpa henti, ada kalanya meningkat mendadak atas isu-isu antarabangsa antara negara.

Sehingga Ogos tahun ini MyCert, Cybersecurity Malaysia (CSM) melaporkan sebanyak 979,159 insiden infeksi oleh Malware dari IP unik, berbanding 1,780,662 untuk sepanjang tahun 2020.

Ini kecil berbanding serangan dron Botnet yang berjumlah sehingga 3,727,695 insiden untuk tahun 2020.

Ini tidak termasuk ancaman lain berbentuk Spam, serangan DoS dan penggodaman langsung yang terus berlaku saban hari dan meningkat.
Lebih merisaukan, angka ini adalah insiden yang dilaporkan ke MyCert atau talian Cyber999, dan berapa banyak lagi insiden yang berlaku tetapi tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Wabak pandemik yang sedang melanda menggandakan lagi ancaman ini kerana sebahagian besar dari pekerja bekerja dari rumah dan anak-anak pula mengikuti pengajian dari peringkat rendah hingga ke universiti dengan kaedah pembelajaran atas talian sepenuhnya.

Ancaman ini semakin meningkat secara berterusan dengan pengembangan pesat semua sektor teknologi yang berpacukan data seperti penyatuan teknologi web, komputeran awan, alat mudah alih dan Internet of Things.

Apabila teknologi ini pesat berkembang, begitu juga dengan peningkatan risiko ancaman, sehingga menjadikan pengurusan risiko siber penting kepada semua organisasi hari ini.

Keadaan ini tambah mencabar apabila baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Datuk Dr. Amirudin Abdul Wahab berkata, sehingga Disember 2020, Malaysia kekurangan seramai 7,917 pakar dalam bidang keselamatan siber.

Keadaan ini semakin meruncing dengan negara memerlukan seramai 20,000 pekerja berpengetahuan keselamatan siber menjelang 2025.

Beliau berkata Laporan Kajian Tenaga Kerja Cybersecurity 2020 menyatakan bahawa terdapat kekurangan 2.045 juta tenaga kerja keselamatan siber di rantau Asia Pasifik (APAC).

Namun dengan perancangan dan tindakan rapi pakar-pakar, institusi pendidikan tinggi dan agensi berkaitan, Malaysia kini berada pada kedudukan antara negara terbaik dalam kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan siber.

Berdasarkan laporan Global Cybersecurity Index 2020 yang dikeluarkan oleh International Telecommunication Union (ITU), Malaysia kini berada di kedudukan ke 5 dalam dunia mengatasi banyak negara maju antaranya Jepun, Kanada, Perancis dan Jerman.

Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad berkata, untuk menangani isu ini, FTMK sejak penubuhannya pada 2000, telah menawarkan pelbagai program dan kursus dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi dengan beberapa program ditumpukan kepada bidang keselamatan siber.

Program yang ditawarkan secara langsung dalam bidang keselamatan siber adalah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer), Sarjana Sains Komputer (Sains Keselamatan) dan pengajian secara penyelidikan peringkat sarjana dan kedoktoran yang mengkhusus kepada keselamatan siber antaranya, Kriptografi, Forensik Siber, Pengesanan Penceroboh, Malware dan banyak lagi.

Mata pelajaran Keselamatan siber juga diterapkan dalam semua program yang ditawarkan dari peringkat diploma hingga ke peringkat sarjana dan kedoktoran.

FTMK, UTeM telah bekerjasama dengan CSM untuk membangunkan program latihan dan persijilan yang disesuaikan dengan keperluan tempatan dan sejajar dengan piawaian antarabangsa melalui Pusat Kompetensi Keselamatan Siber yang baru ditubuhkan.

Persijilan ini dikenali sebagai Persijilan ACE Global yang antara matlamatnya adalah untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada program persijilan antarabangsa dengan memanfaatkan sepenuhnya kepakaran tempatan.

Usaha ini diteruskan lagi oleh Jabatan Sistem dan Komunikasi Komputer, FTMK, UTeM dengan menganjurkan Webinar Antarabangsa dan Forum 2021 bertajuk Keselamatan Digital Global dan Forensik Dalam Norma Baru yang bakal berlangsung pada 23 September ini secara dalam talian sepenuhnya.

Bidang siber forensik amat penting bagi membolehkan penjenayah siber dapat dikesan dan bahan bukti dapat dikumpul bagi tujuan pendakwaan untuk membawa penjenayah siber ke muka pengadilan.

Acara ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan siber global dan forensik digital dalam norma baharu melalui kerjasama antarabangsa di kalangan kolaborator UTeM.

Program ini menyediakan sesi menarik yang memberi tumpuan kepada forensik digital dan isu-isu semasa keselamatan siber dan cabaran-cabaran seperti berikut:

1. Ucaptama bertajuk, Pengajaran dan Latihan Forensik Keadaan Pandemik dan Keselamatan Haji dalam Norma Baru; dan

2. Perbincangan panel untuk perkongsian dan untuk bertukar-tukar idea dan pengalaman, kepakaran yang pelbagai, dan organisasi yang menumpu kepada Keselamatan Digital Global dan Forensik Dalam Norma Baru.

Pakar-pakar antarabangsa yang akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka adalah seperti berikut:

1. Profesor Madya Dr Parag H. Rughani
Dekan Bersekutu Pusat Pengajian Keselamatan Siber dan Forensik Digital Universiti Sains Forensik Negara Gandhinagar, Gujarat, India

2. Encik Wajdi Homaid Alquliti Bekas Penasihat Setiausaha Agung OIC bagi Transformasi Digital, Perancangan Strategik dan Pembangunan, Jeddah, Arab Saudi.

3. Ts Mohd Zabri Adil Talib Ketua Jabatan Forensik Digital CyberSecurity Malaysia

4. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, FASc. (Moderator) Ketua Pusat Kompetensi Keselamatan Siber,Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi,UTeM.

Webinar ini adalah terbuka dan percuma, semua dijemput hadir. Butiran webinar adalah seperti berikut:

Tarikh: 23 September 2021 (Khamis)
Masa: 14:00 Waktu Malaysia
Platform: Webex https://utem.webex.com/meet/GDSF21

Untuk maklumat lanjut mengenai Webinar, sila layari laman web:
https://ftmk.utem.edu.my/gdsf/

Untuk mendaftar ke Webinar dan bagi mendapatkan sijil penyertaan, sila daftar di https://tinyurl.com/RegisterGDSF21

Jika kita bimbang tentang keselamatan kita, keluarga kita dan keselamatan organisasi kita di ruang siber, sila sertai webinar antarabangsa dan forum ini untuk mengemas kini pengetahuan kita mengenai perkembangan terkini dalam Keselamatan Digital dan Forensik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1790
Kongsi :
Previous post UTeM anjur webinar antarabangsa tentang keselamatan digital global dan forensik
Next post Melaka pertama benarkan ADUN positif COVID hadir sidang DUN secara maya.
Ubah saiz-+=