Siasat punca Limbongan ‘dilanggar’ sampah
KESIDANG 13 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang bersama agensi terlibat akan melakukan siasatan bagi mencari punca isu sampah yang memenuhi longkang di Limbongan.
Menurut beliau, siasatan itu perlu dilakukan memandangkan masalah sampah di kawasan berkenaan merupakan isu berulang.
Jelasnya, keadaan itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan, bahkan boleh mengundang bahaya seperti kehadiran haiwan berbisa dan menjadi pembiakan nyamuk Aedes.
“Kita difahamkan ada beberapa faktor menyumbang kepada isu sampah di Limbongan antaranya didakwa berpunca daripada warga asing yang mengabaikan kebersihan malah ada juga menyalahkan penduduk sekitar.
“Kita sedang menyiasat perkara ini disebabkan sampah yang berlonggok kebanyakkan adalah sampah botol minuman dan plastik yang berkemungkinan dibawa arus air dari komuniti perumahan berbeza selain ia juga berpunca dari sampah yang dibuang di tepi jalan oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Allex yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, pihaknya meminta syarikat konsesi pembersihan menambah kekerapan jadual pembersihan di kawasan berkenaan.
“Untuk meningkatkan kekerapan jadual pembersihan ia akan melibatkan kos dan ini terpaksa dilaksanakan disebabkan kesedaran masyarakat masing kurang sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawab mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.