Sorting by

×

Siapa punya kambing?

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

DURIAN TUNGGAL: Setelah tiga hari terperangkap di dalam longkang, seekor kambing jantan akhirnya diselamatkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah petang tadi.

Kambing baka tempatan itu dikatakan terpisah daripada kawanannya sebelum terjatuh ke dalam longkang besar sedalam lima meter di belakang sebuah pasaraya, di sini sejak Isnin lalu.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu sekitar jam 2.45 petang tadi.

Katanya, sepasukan lima anggota diketuai Sarjan Khairul Affendi Abd Aziz tiba di lokasi jam 3 petang sebelum melakukan operasi mengesan kambing itu.

“Pemeriksaan mendapati, keadaan longkang yang dalam iaitu lima meter menyebabkan kambing itu gagal melepaskan diri.

“Anggota APM terpaksa merangkak di dalam longkang itu sebelum berjaya menangkap kambing itu menggunakan tali 15 minit kemudian,” katanya.

Tambahnya, kambing jantan seberat kira-kira 15 kilogram itu kemudian dibawa ke pejabat sementara menunggu dituntut pemiliknya.

“Penternak yang kehilangan kambing diminta datang ke pejabat APM Alor Gajah bagi menuntut ternakan mereka,” katanya.

Sementara itu, pengadu yang mahu dikenali sebagai Hung Huei berkata, dia berasa pelik mendengar bunyi kambing mengembek kuat dari arah belakang pasar raya tempatnya bekerja.

“Setelah diperiksa, saya ternampak kambing itu terperangkap di dalam longkang sebelum menghubungi pihak APM.

“Semalam (kelmarin) saya ternampak kawanan kambing berkeliaran meragut rumput di belakang pasar raya ini, tapi tak sangka seekor daripadanya terjatuh ke dalam longkang,”katanya sambil mendakwa pemilik kambing itu ada datang mencari ternakannya semalam.

Views:

552
Kongsi :
Previous post Rakyat Indonesia dapat vaksin COVID-19 percuma
Next post Calon Presiden MUSA: “Beri saya masa…” – Idris
Ubah saiz-+=