Siapa MB Johor?
JOHOR BAHRU, 15 Mac – Siapa yang akan mengepalai kerajaan negeri Johor yang baharu masih menjadi teka-teki sehingga kini meskipun sudah tiga hari Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan bergaya lebih dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengamal media di negeri selatan tanah air ini masih tertunggu-tunggu sebarang pengumuman rasmi mengenai majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor, meskipun anggota media difahamkan majlis itu akan diadakan pada petang ini.
Walaupun menjadi ‘poster boy’ BN, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad menerusi kenyataan lewat petang semalam seolah-olah memberikan ‘petanda’ dengan menyatakan bahawa pucuk pimpinan negeri diberikan kepada orang muda bagi memacu kemajuan negeri itu.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita di bangunan Badan Perhubungan UMNO Johor semalam, beliau dengan tenang berkata soal perlantikan Menteri Besar Johor akan diputuskan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Bagi penganalisis politik Mujibu Abd Muis, isu pelantikan Menteri Besar Johor ini sangat mengejutkan kerana tiada siapa menjangka perkara itu akan berlaku memandangkan keputusan melantik Hasni menjadi Menteri Besar sudah diputuskan BN-UMNO sejak sebelum PRN.
“Malah faktor itu, dengan menjadikan Hasni ‘poster boy’ BN menjadi sebahagian penawaran politik kestabilan yang dijaja BN kepada pengundi.
“Perwatakan dan karakter Hasni disenangi pengundi dan di permulaan isu ini dianggap selesai, hanya tunggu BN boleh menang PRN atau tidak sahaja,” kata beliau kepada Bernama, hari ini.
Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan itu berkata isu membabitkan perlantikan Menteri Besar ini mungkin akan memberi kesan kepada UMNO dan memaksa parti itu memberikan penjelasan tentang apa sebenarnya yang berlaku.
“BN bukan sahaja kena urus impak tersebut dalam konteks politik UMNOÂ Johor tetapi juga UMNO yang dalam fasa kritikal kerana Perhimpunan Agung UMNO, dalam masa yang sama mesti menerangkan kepada rakyat apa sebenarnya yang berlaku,” kata beliau.
Kesediaan Ahli Dewan Undangan Negeri Benut itu mencadangkan supaya orang muda dilantik menjadi Menteri Besar juga harus dipuji, tambah Mujibu.
Selain Hasni, dua nama yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar negeri itu adalah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Belia dan Sukan Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang memenangi kerusi Machap dan  Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang memenangi kerusi Rengit pada pilihan raya negeri Sabtu lepas.
Pada pilihan raya itu, BN memenangi 40 kerusi, Pakatan Harapan (11), PKR (satu), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendapat satu kerusi manakala Perikatan Nasional memperoleh tiga kerusi.
Semalam, Pengerusi BN yang juga merupakan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menghadap Sultan Johor berhubung pelantikan Menteri Besar Johor yang ke-19.
Pada 4 Mac, Ahmad Zahid semasa berkempen di Kota Tinggi, berkata BN telah memilih Hasni sebagai Menteri Besar Johor dan akan meminta perkenan Sultan Johor untuk melantik Hasni sejurus BN memenangi pilihan raya.
Presiden UMNO itu berkata pemilihan Hasni berdasarkan prestasi beliau yang amat memberangsangkan dan memacu kemajuan kepada Johor dalam masa yang singkat.
Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Feb 2020.
Beliau merupakan Menteri Besar yang ketiga dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-18 pada 2018 selepas Allahyarham Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr Sahruddin Jamal.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.