Siapa kata ‘durian PKP’ tak laku?
AYER MOLEK 22 Jun – Seorang pemuda membuktikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh tidak sama sekali menjejaskan perniagaan duriannya.
Muhammad Aiman Mohd Nasri, 22, anak jati Kampung Padang, Bukit Lintang, di sini malah menepis dakwaan mengaitkan bakal berlaku lambakan durian hingga menjejaskan peniaga seluruh negara.
Menurutnya, sejak berniaga mulai 11 Jun lalu, jualan duriannya mampu mencecah RM20,000 sehari apabila hampir kesemua 2,000 kilogram durian yang diambil dari Tiang Dua dan Bukit Pasir, Muar habis terjual dalam tempoh tujuh jam berniaga.
Katanya, ia dicapai menerusi berbagai promosi dalam talian ditawarkan selain turut menyediakan khidmat penghantaran kaedah pembayaran tunai ketika serahan (COD) bagi pelanggan yang tinggal jauh.
“Jual durian waktu PKP tak laku?… Tak adalah. Tak pernah ada istilah buah lambat habis sepanjang saya berniaga.
“Kesemua durian yang kita bawa masuk setiap hari semuanya terjual, tak pernah tak habis.
“Dalam perniagaan kita kena jadi lebih kreatif. Memandangkan kita tahu orang tidak boleh keluar rumah, kita perlu lakukan sesuatu untuk atasi masalah itu dan salah satu contoh adalah menerusi perkhidmatan COD.
“Boleh dikatakan sejak saya memulakan perkhidmatan COD durian, kami menerima tempahan daripada 20 rumah sehari dan paling jauh kami hantar ialah di Paya Rumput dan Malim,” katanya ketika ditemui di gerai jualannya di Bukit Lintang, hari ini.
Muhammad Aiman berkata, menerusi khidmat COD itu, caj penghantaran akan ditetapkan mengikut kawasan iaitu dengan harga bermula dari RM5.
Selain itu, dia juga akan berhubung dengan pelanggan mengenai jenis durian yang diinginkan mengikut bajet setiap individu.
“Sebelum membuat penghantaran, kami akan belah dahulu durian dan menghantar gambar isi dalam, sekiranya pelanggan berpuas hari, barulah urusan pembelian diteruskan.
“Dengan itu barulah pelanggan akan percaya kepada kita dan mereka diyakini akan terus menjadi pelanggan tetap kita apabila tibanya musim durian tiga kali setiap tahun iaitu pada Mac, Jun dan Disember,” katanya.
Menurutnya lagi, antara jenis durian yang ditawarkan adalah Udang Merah pada harga RM18 sekilogram, Musang King (RM35 sekilogram), Kampung (RM13 sekilogram), IOI (RM20 sekilogram) dan Kahwin (RM16 sekilogram).
Malah, mengikut waktu tertentu, dia turut menjual durian dengan harga serendah RM5 sekilogram bagi durian kampung yang bergred rendah.
Sementara itu, seorang pelanggan yang ditemui Melaka Hari Ini, Siti Aishah Sabtu, 32 mengakui tidak pernah melepaskan peluang membeli durian di gerai milik anak muda itu setiap kali tibanya musim ‘raja buah’ berikutan servisnya yang terbaik dan harga yang munasabah.
“Biasanya bila saya hubungi Aiman, dia akan cepat-cepat siapkan tempahan mengikut bajet yang kita tetapkan.
“Di sini juga, kita boleh tengok isi di dalam dan kalau isinya tidak cantik, dia akan menukarnya dengan yang lain. Bagi saya memang sangat berpuas hati berbanding di tempat-tempat lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.