Sorting by

×

Siapa jadi Ketua Menteri tidak penting – Idris

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

ASAHAN 9 Nov – Siapa jadi Ketua Menteri termasuk Idris Haron tidak penting, kerana yang lebih penting ialah kerajaan yang menaungi rakyat Melaka, itu pendirian Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata, masa depan rakyat perlu menjadi keutamaannya pada ketika ini.

“Idris Haron tidak penting kerana yang lebih penting ialah masa depan rakyat Melaka.

“Mana-mana individu yang akan menjadi Ketua Menteri tidak penting, termasuk manusia yang bernama Idris Haron kerana yang lebih penting ialah kerajaan yang menaungi rakyat Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa beliau akan diangkat menjadi Ketua Menteri Melaka sekiranya PH mentadbir kerajaan.

Tanpa mengiya atau menepis dakwaan itu, Idris menyifatkan desas-desus seperti itu adalah perkara biasa setiap kali tibanya kempen pilihan raya.

Beliau yang juga calon PH di kerusi N 10 Asahan bagaimanapun meminta rakyat agar bijak memilih kerajaan yang akan mentadbir negeri ini.

“Apa yang penting adalah rakyat Melaka harus memilih antara yang benar-benar mampu membela nasib mereka dengan kerajaan yang pemimpinnya terbabit dalam korupsi dan penyelewengan kuasa.

“Rakyat harus memilih kerajaan yang bersih, cekap dan bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi di Asahan hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Idris sedia menjadi Ketua Menteri jika ditawarkan PH seandainya gabungan itu mendapat majoriti dalam PRN Melaka 20 Nov ini.

Idris berdepan pertandingan enam penjuru di Asahan iaitu Fairul Nizam Roslan (Barisan Nasional), Danesh Basil (Perikatan Nasional) dan tiga calon Bebas, iaitu Mohd Akhir Ayob, Azmar Ab Hamid dan Mohd Noor Salleh.

Views:

494
Kongsi :
Previous post Hanya BN umum ‘Poster Boy’ setakat ini
Next post Hanya khabar angin keluar Bersatu – Pak Wan
Ubah saiz-+=