Sorting by

×

Siap siaga sebagai satu kumpulan, misi utama Pengarah baharu APM

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KLEBANG 4 April. – Kerjasama berkumpulan dalam menghadapi apa saja perkara yang berlaku antara misi utama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Leftenan Kolonel Cuthbert John Martin Quadra, selepas bertugas di negeri ini hampir dua bulan lalu.

Katanya, pihaknya akan lebih bersiap siaga dalam setiap perkara yang berlaku pada bila-bila masa bagi memastikan perkhidmatan berkualiti mampu disalurkan dengan lebih pantas dan telus kepada rakyat.

Menurut Cuthbert, perkara itu penting selaras misi pembentukan agensi itu terutama dalam hal ehwal pengurusan bencana dan pemerkasaan komuniti bagi berdepan situasi pasca pandemik COVID-19 dan bencana.

“Setelah ditugaskan di Melaka sejak Februari lalu saya sentiasa pastikan setiap warga kerja APM bertindak sebagai satu kumpulan utuh bagi mentransformasi perkhidmatan APM ke peringkat yang lebih memuaskan.

“Dengan kepakaran dan pengalaman setiap anggota kita yakin pertukaran idea dan pendapat dapat ditingkatkan bagi memastikan perkhidmatan yang berterusan mampu dimanfaat rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Makan Malam APM diadakan di Restoran Seafearer di sini, malam tadi.

Hadir sama, mantan Pengarah APM Melaka, Kolonel (PA) Effendy Ali, Timbalan Pengarah APM, Mejar (PA) Kamarulsyah Muslim dan Pengerusi Pegawai Bersekutu APM Melaka, Mike Thein.

Program anjuran Pegawai Bersekutu APM Melaka bagi meraikan kedatangan Cuthbert yang sebelum ini ditugaskan di Pulau Pinang.

Majlis turut meraikan perpisahan mantan Pengarah APM yang kini ditugaskan di APM Wilayah Persekutuan sejak Februari lalu.

Sementara itu Effendy berkata, selama tujuh tahun bertugas di Melaka banyak memberi pendedahan kepadanya bagi menawarkan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.

“Banyak pengalaman dipelajari di negeri ini bermula dengan ‘kosong’ hingga pelbagai tugasan yang bertambah, akhirnya memberi pengalaman yang luas dengan kerjasama kerajaan negeri dan pelbagai peringkat masyarakat.

“Terima kasih atas kerjasama diberikan oleh semua pihak terlibat bagi memastikan APM sebagai agensi yang prihatin kepada rakyat dan berharap dengan penugasan di lokasi baharu yang lebih besar cabarannya kerana menguruskan tiga wilayah persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerima sokongan padu kakitangan terbabit,” katanya.

Pada masa sama, Mike Thein berkata, pihaknya akan memberi kerjasama kepada APM negeri dengan sentiasa bersiap sedia di setiap kawasan yang ditugaskan.

Katanya, pihaknya berharap penambahan pegawai bersekutu dapat membantu penugasan lebih efisien di negeri ini.

“Setakat ini ada 38 Pegawai Bersekutu di Melaka dan apabila ia ditingkatkan dan ditempatkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini, kita yakin mutu perkhidmatan APM mampu diterajui dengan lebih berkualiti kepada masyarakat,” katanya.

Pada majlis itu turut diserahkan 50 borang bagi penyertaan Pegawai Bersekutu APM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

918
Kongsi :
Previous post Kerajaan sedia pelan sokongan jika terpaksa tangguh guna vaksin AstraZeneca
Next post Penolakan UMNO, hala tuju PRU15 PN Melaka kekal fokus
Ubah saiz-+=