‘Shell out’ hidangan terakhir keluarga

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

MERLIMAU 19 Mac – Suasana hiba menyelubungi Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2022 apabila kakak Allahyarham Muhammad Nafis Ahmad Nahar disarungkan jubah konvokesyen mewakili adiknya bagi menerima Sijil Landskap dari Kolej Komuniti Selandar, hari ini.

Nur ‘Inani, 26 berkata dia yang juga graduan Sijil Kulinari Kolej Komuniti Bukit Beruang dijadualkan menerima skrol sijil pengajiannya esok namun dia terpaksa berlapang dada untuk menghadirkan diri hari ini untuk menyarungkan jubah itu mewakili adiknya.

Dia yang berasal dari Kuala Langat, Selangor berkata, pemergian Muhammad Nafis yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu adalah kejadian tidak mampu dilupakan kerana dia rapat dengan arwah sejak kecil.

“Arwah memang rapat dengan saya daripada kecil dan dia memang ambil berat biarpun kami berbeza kampus di negeri ini.

“Saya masuk sini pun sebab sudah berjanji hendak meraikan hari konvokesyen ini bersama dia tapi ia tak kesampaian sebab dia dah pergi dulu, malah selepas melanjutkan pelajaran kami memang rancang nak buka perniagaan keluarga bersama.

“Dia masuk belajar awal dari saya dan pernah cakap tak sabar nak konvokesyen bersama-sama tapi selang beberapa bulan selepas dia menjalani latihan praktikal dia terus pergi tinggalkan kami, sangat sedih sebab tak dapat meraikan konvokesyen ini bersama dia,” katanya kepada pemberita.

Nur’Inani Ahmad Nahar, 26 . Foto Iqmal Haqim Rosman

Menceritakan detik hitam itu, Nur ‘Inani berkata, mereka sekeluarga merancang untuk menikmati hidangan ‘shell-out’ yang dimasak bersama dan arwah sempat berpesan supaya semua adik-beradik hadir kerana khuatir arwah tidak sempat bersama.

“Dia dengan saya memang minat bermasak, kalau di rumah dia memang tolong saya masak bersama.

“Petang Khamis, 20 Jun 2020, itu kami masak dan makan bersama, selepas maghrib itulah terakhir saya bercakap dengannya sebelum menerima panggilan kehilangannya pada jam lebih kurang 3 pagi.

“Dia kata dia nak keluar tolong kawannya untuk ambil buah nangka untuk dijual kerana musimnya sudah tiba dan itulah kali terakhir kami bersama,” luahnya sebak.

Muhammad Nafis antara graduan yang disahkan meninggal dunia diwakili keluarga menerima sijil dalam konvokesyen diadakan hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1734
Kongsi :
Previous post OKU bergelar kontraktor sebelum graduasi
Next post PAU 2021: Perwakilan Sabah mahu isu infrastruktur ditangani
Ubah saiz-+=