Shadan dilantik Datuk Bandar MBMB
AYER KEROH 25 Januari – Datuk Shadan Othman dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang baharu berkuat kuasa 1 Februari depan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Zainal Abu yang tamat perkhidmatan pada 31 Januari ini.
Katanya, berikutan pelantikan tersebut, jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang sebelum ini disandang Shadan kini dijawat Datin Sapiah Haron.
“Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan, Unit Kerajaan Tempatan (UKT) Rosmanizam Mohd Nalif@Zawawi pula dilantik mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sapiah sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
“Kesemua jawatan tersebut berkuat kuasa pada tarikh yang sama iaitu pada 1 Februari 2023,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurut beliau, jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah pula kekal disandang TPr. Saifuddin Abdul Karim.
“Kerajaan Negeri Melaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Zainal Abu di atas sumbangan beliau sebagai Datuk Bandar selama ini.
“Kerajaan Negeri Melaka juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Shadan Othman, Datin Sapiah Haron, TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Rosmanizam Mohd Nalif@Zawawi di atas pelantikan tersebut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.