Setiap penjawat awam bertanggungjawab dengan tugas – Cuepacs
PANTAI KUNDOR 1 April – Setiap penjawat awam di negara ini mempunyai skop dan fungsi tugas berbeza namun masih bertanggungjawab dalam menjalankan setiap amanah yang diberikan.
Itu reaksi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat sewaktu diminta mengulas mengenai insiden seorang pensyarah yang didakwa menghina pelajar golongan B40 dalam sebuah video yang tular.
“Setiap penjawat awam ada skop dan fungsi tugas berbeza dan mereka amat bertanggungjawab dengan tugas masing-masing.
“Sejauh mana mereka melaksanakan tugas tersebut masih tetap dalam lingkungan untuk memajukan kerjaya dan sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepaa merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan ke-12 Kesatuan Kebangsaan Penghantar Notis Semenanjung Malaysia di sini,semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden kesatuan, R. Ganes.
Satu video berdurasi satu minit 46 saat memaparkan seorang pensyarah wanita memarahi pelajar lelakinya berikutan tidak mempunyai komputer, sebaliknya menggunakan telefon pintar dalam kelasnya.
Susulan kejadian itu, laman Facebook rasmi milik UiTM menjadi sasaran warga maya melepaskan kemarahan susulan tular rakaman video pensyarah berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai insiden itu, kata Adnan, isu tersebut dianggap telah selesai dan tidak perlu dipanjangkan lagi ekoran video yang ditularkan juga sudah lama sekali gus menunjukkan kejadian telah lama berlaku.
“Video lama, perkara itu juga sudah selesai jadi tidak perlu dipanjangkan lagi… netizan di luar juga sudah komen macam-macam,” ujar beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.